Injuksi mahkamah tidak halang proses PRK Nenggiri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Terserah kepada bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk mendapatkan perintah injuksi mahkamah berhubung kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Rabu lepas.

- Advertisement -

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, keabsahan ahli dewan sama ada peringkat negeri dan pusat bergantung kepada kuasa Yang Dipertua Dewan bahkan tidak boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, keputusan dibuat Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah telah diteliti berpandukan Undang-undang Tubuh Kerajaan terlebih dahulu sebelum pengosongan kerusi terbabit diumumkan.

“Sudah pasti dia tidak membuat ‘ruling’ sesuka hati, ada peraturan, negeri Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, maknanya kena ikut undang-undang sedia ada.

“Hak dia (Azizi) untuk menfailkan kes kerana tidak puas hati itu hak dia, tetapi saya berdasar peristiwa lalu, mencabar kuasa Speaker biasanya hakim tidak campur tangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini. (Foto atas)

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu juga berkata, sebelum pembubaran parlimen pada 2022 ada pihak yang mengemukakan injunksi ke mahkamah untuk menyekat Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) diadakan.

Beliau berkata, perkara yang serupa cuba dilakukan Azizi bagi menangguhkan keputusan yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

“PRK akan tetap berjalan apabila Speakar sudah mengumumkan kekosongan dan SPR tugas dia mengisi kekosongan, bukan tugas Speaker untuk mengisi kekosongan, tugas dia umumkan ada kekosongan.

“Walaupun kes ini dibawa ke mahkamah, tetapi PRK tetap akan dijalankan dalam temoh 60 hari selepas pengumuman kekosongan diumumkan oleh DUN Kelantan baru-baru ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Azizi memaklumkan dalam proses mendapat injuksi mahkamah bagi menangguh keputusan pengosongan kerusi dilakukan oleh Speaker DUN Kelantan. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

- Advertisement -