KOTA BHARU: Bagi meningkatkan semangat ‘juang’ dalam kalangan pemain, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menyediakan ganjaran khas sekiranya berjaya menewaskan PDRM FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/25.
Saingan liga pertarungan pertama skuad Sang Kijang Emas itu bakal beraksi di laman sendiri, Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Penolong pengurus, Dato’ Mohd Rowi Dollah ketika mengumumkan berita gembira itu memberitahu, keputusan itu juga dibuat sebagai usaha pihak pengurusan Sang Kijang Emas untuk mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan liga.
“Saya percaya, semangat pemain berada pada tahap tinggi serta sangat bermotivasi untuk beraksi di padang. Dengan penyediaan imbuhan khas ini saya yakin akan menambahkan lagi semangat pemain kami untuk memungut tiga mata,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut berharap pemain KDN FC melupakan perlawanan lalu dan membuktikan mereka layak bersaing pada saingan musim ini.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan latihan untuk skuad bimbingan Park Jaehong bagi melakukan persediaan terakhir sebelun turun aksi dengan PDRM FC di laman sendiri.
Selain itu, Rowi juga menyeru penyokong hadir beramai-ramai untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan itu.
“Kita memerlukan kemenangan, kehadiran ramai penyokong sudah pasti akan menyuntik semangat juang pemain apa lagi di padang sendiri.
“Saya sangat berharap kita semua bersatu padu malam esok sekaligus keluar sebagai pemenang mutlak,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!