Dapur Hijau bantu suri rumah, armalah jadi usahawan tani

- Advertisement -

MACHANG: Sebanyak 2,000 suri rumah dan golongan armalah di Kelantan kini berjaya menjadi usahawan tani menerusi Program Dapur Hijau yang mula diperkenalkan sejak 2015 sehingga mampu meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, berkata dengan perolehan pendapatan tersebut, mereka dapat menambah pendapatan isi rumah.

Beliau yang juga ADUN Selising memberitahu, pada  tahun 2015, seramai 10 peserta setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dipilih menyertai program berkenaan.

Kini, tambahnya jumlah itu meningkat kepada 30 peserta bagi setiap DUN.

“Bagaimanapun pada tahun 2019, kita menambah sehingga 40 peserta bagi setiap DUN disebabkan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Ekspo Dapur Hijau 2024.

Program peringkat negeri itu disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan di Astaka Taman Rekreasi Kolam Air Panas Tokbok, di sini petang semalam.

Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan tambahan sehingga RM5,000 bagi peserta Program Dapur Hijau yang sudah menjadi usahawan tani sebagai galakan untuk mereka terus berusaha dalam bidang berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan yang penuh bagi mereka yang ingin menjadi usahawan tani.

Beliau menambah, untuk menjayakan program itu memerlukan kerjasama daripada semua pihak supaya golongan sasar mendapat manfaat sebaiknya.

“Diharapkan melalui Program Dapur Hijau ini juga dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani yang mampu mengeluarkan hasil pertanian sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

- Advertisement -