Tawar bekalan air: Sanusi jawab serangan PH-BN

- Advertisement -

KULIM-BANDAR BAHARU: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa tawaran membekalkan air terawat untuk mengatasi masalah di Nibong Tebal sama sekali tidak mempunyai sebarang muslihat.

Beliau memperincikan penjelasan perkara itu setelah cadangan penyelesaian dibuatnya sebelum ini diserang hebat oleh ramai ahli politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan mengheretnya sebagai tawaran politik.

“Bukan ada muslihat apa, bukan kita nak buh (letak) racun dalam ayaq (air) tu, dak eh (tidaklah). Tawaran kita ialah kerana kita ada lebihan di Loji (Rawatan) Air Lombok Buntar, di sebelah Kedah.

“Yang pernah menjadi sumber air terawat Seberang Perai Selatan pada tahun 1992. Paip pun duk (masih) ada lagi. Daripada loji Lubuk Buntar pi Seberang Perai. Apa salahnya? Hangpa (kamu semua) bayarnya. Ambillah. Ada lebih,” ujarnya.

Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) itu berucap demikian dalam Ceramah Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Kedah ke PRK N.20 DUN Sungai Bakap di Relau, di sini malam tadi.

Menurut beliau, pada ketika ini terdapat lebihan sebanyak 5 juta liter sehari (MLd), tetapi apabila Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Baru dan LRA Lubuk Buntar Lama siap dibina dan dinaik taraf, ia akan mempunyai lebihan 20 MLd.

Sanusi turut membidas seorang pemimpin PAN yang berlagak sebagai ‘pakar formula’ menjawab tawaran dikemukakannya dengan mengumumkan projek untuk masalah air itu antaranya mendatangkan air dari Parit Buntar.

“Dia kata dia orang Pulau Pinang, yang bertanding di Parit Buntar. Kalau saya jadi dia, saya malu. Saya tak akan habaq (beritahu) saya bertanding Parit Buntar. Pasal dia kata ini anak Pak Su Rawa. Orang Pulau Pinang, tanding Parit Buntar.

“Pasal apa tanding Parit Buntar? Pasal kalau hang (kamu) bertanding Gelugor, hang tak menang. DAP tak akan sokong hang. Hang terpaksa cari kawasan Melayu untuk bertanding dan jadi wakil rakyat.

Hang tak malu? Kalau saya, saya malu. Tapi dia terbuka jenis tak malu, itu jadi PAN. Ada hati nak mengurat dinda?” tempelak beliau terhadap pemimpin PAN yang dikatakannya tewas di Parit Buntar itu serta tidak laku dalam politik.

Sanusi malah menyatakan kehairanannya berikutan mereka yang berkelulusan agama di tidak laku di dalam Pakatan Harapan (PH), malah mencabar pemimpin PAN itu menjadi ‘jantan’ dengan bertanding di Parlimen Gelugor kelak.

Terang beliau, walaupun di Parit Buntar terdapat LRA Jalan Baru, tetapi kapasiti dimiliki tidak mencukupi untuk menyalurkan bekalan kepada 19,000 akaun di kawasan itu termasuk Kuala Kurau, apatah lagi untuk Seberang Perai Selatan.

Malah dedahnya, semasa pemimpin PAN tersebut menjadi wakil rakyat di situ, LRA tersebut pernah ditutup kerana tercemar oleh baja sawit, bahkan tawaran itu menyerlahkan bahawa pemimpin itu tidak tahu mengenai pengurusan air.

Ekosistem bekalan air

Menjawab tempelakan para pemimpin PH-BN yang mengecam beliau supaya menangani masalah bekalan air di Kedah khususnya Sungai Petani, jelas Sanusi LRA Lubuk Buntar tidak mempunyai paip saluran ke Sungai Petani.

“Punya tak reti (tahu) ada hati nak support (bekal) air dia. Baca sikit, saya offer (tawarkan) itu kerana kita (LRA Lubuk Buntar)ada lebihan. Dia kata hang jaga negeri hang itu, nun Sungai Petani tak ada ayaq (air).

Hoi bodoh Lubuk Buntar tak ada paip (ke) Sungai Petani. Nak bersyarah ni kena baca dulu. Tiap-tiap LRA dia ada ekosistem, ada sistem dia. Ada muka sauk, ada LRA, ada paip agihan. Dia cover (bekalkan) kawasan dia tiap-tiap LRA itu.

“Dan tak ada lagi LRA Lubuk Buntar, ada paip sampai Sungai Petani. Orang tak buat kerja lagu itu. Sungai Petani dia pakai LRA Pinang Tunggal. LRA Pinang Tunggal ambil air Sungai Muda, Sungai Petani cover Kuala Muda sebahagian kita sampai pergi Merbok.

“Ada sistem paip dia tu ekosistem LRA kena mengaji dulu. Hang nak pakai offer (begitu sahaja) ya?” ujarnya turut mengingatkan pemimpin itu agar tahu membetulkan caranya berpakaian.

Sanusi turut mempertikaikan kewajaran para pemimpin PH-BN yang mahu mengatasi masalah bekalan air di Nibong Tebal dengan projek membawa air dari Sungai Perak dan ditakungkan di Tasik Merah sebelum ke Seberang Perai.

Katanya, projek tersebut akan menelan kos RM4 bilion termasuk agihan ke kawasan industri baru di Kerian di mana beliau secara berseloroh menyindir kos itu berkait kenaikan harga diesel yang diumumkan baru-baru ini.

Oleh itu beliau tetap masih mempelawa mereka menerima tawarannya yang lebih realistik, ditambah saluran untuk tujuan tersebut telahpun tersedia untuk dibekalkan sekurang-kurangnya 5 MLd pada masa ini.

Turut diperingatkan beliau kepada mereka itu bahawa urusan pengurusan perkhidmatan bekalan air tertakluk di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dan aset negeri dimigrasi kepada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

Masalah tak diselesaikan

Menurut Sanusi, beliau tidak menyangka masalah bekalan air berlaku di negeri DAP, terutama di Nibong Tebal sejak lebih enam tahun, sedangkan DAP juga sebagai kerajaan sering menghentam pihak atau negeri lain.

“Padahal negeri dia pun berselerak dengan masalah. Ini dipanggil berkokok berdegar-degar, pungkoq (punggung) bergelumang taik (tahi). Ha ni Kerajaan DAP. Baru kita tahu rupanya di Sungai Bakap ni, jiran kita (Kedah) sebelah tu je, ada masalah bekalan air,” bidasnya.

Kedah beritahunya, dalam mengatasi masalah bekalan air, sedang giat membina lima LRA dengan kos RM931 juta di mana semuanya akan siap dalamntahun ini dan tahun 2025 setelah tertangguh dua tahun akibat COVID-19.

Beliau turut menegaskan bahawa kawasan Seberang Perai tidak sepatutnya berlaku masalah bekalan air kerana 80 peratus sumber air mentah bagi negeri Pulau Pinang adalah dari Sungai Muda yang berada di sebelah Seberang Perai.

Jelasnya, sebahagian air itu disedut ke LRA Lahar Tiang dan dibawa untuk simpanan Empangan Mengkuang yang telah dibesarkan kapasitinya, manakala sumber air di bahagian pulau adalah melalui Empangan Teluk Bahang dengan sumber yang sedikit.

“Kalau sumber air mentah Pulau Pinang 80 peratus datangnya dari Seberang Perai, simpanan di Empangan Mengkuang pun duk di Seberang Perai, pasal apa masalah (bekalan air) berlaku di Seberang Perai, tak berlaku belah pulau?” ujarnya.

Persoalan dilontarkannya itu bertujuan mengajak semua pihak memikirkan logik dan munasabah terhadap masalah air sedang berlaku tersebut, namun beliau dituduh bersikap perkauman apabila melontarkan sedemikian.

Sanusi dalam ceramah itu turut mengemukakan sejarah yang disebutnya bersama bukti berdokumen tersimpan di Eropah yang menunjukkan Sungai Bakap dan Pulau Pinang adalah sebahagian daripada negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -