‘Selepas setahun PM gagal, rakyat boleh turun ke jalanan…’

Dayangku Intan bersama-sama YB Viral (dua dari kiri), Siti Zulaika (kanan), Mohd Zubir (kiri) dan Rafique (belakang) di luar IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada hari ini, 22 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Tindakan kerajaan pada hari ini seolah-olah ingin melakukan langkah intimidasi dalam cubaan mendiamkan kami bertiga daripada terus bersuara tentang masalah rakyat.”

Pempengaruh media sosial, Aidil Yunus yang turut dikenali sebagai YB Viral berkata, pada hari ini beliau bersama-sama seorang artis popular era 80-an, Dayangku Intan, serta seorang lagi ialah Siti Zulaikha Olivia telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Ketiga-tiga YB Viral, Dayangku Intan dan Siti Zulaika merupakan aktivis kepentingan awam dan pembentuk pendapat daripada gerakan masyarakat sivil, Demi Negara.

Menurut YB Viral, di sebabkan perancangan mengadakan demonstrasi Rakyat Lawan Anwar Round 1 itu di hadapan Kompleks Seri Perdana Putrajaya pada 29 Jun ini menyebabkan beliau serta Dayangku Intan dan Siti Zulaika telah dipanggil untuk memberi keterangan mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Dayangku Intan, Siti Zulaika, serta Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid dan peguam,Mohd Zubir Embong.

Menurut YB Viral, kerajaan pada ketika ini telah gagal dalam menyelesaikan masalah-masalah seperti kenaikan kos sara hidup,  kenaikan harga minyak dan seumpamanya.

Tambah beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekiranya dalam masa setahun dirinya sendiri gagal dalam menjalankan peranannya, maka rakyat boleh turun ke jalanan bagi melakukan demonstrasi aman.

“Justeru, memandangkan kami telah dicabar melakukan sedemikian maka itu yang kami akan lakukan perhimpunan tersebut.

“Sudah lebih dari 18 bulan kami beri peluang kepada kerajaan untuk membetulkan banyak perkara tetapi nampak gayanya keadaan semakin buruk.

“Jadi, kita ajak rakyat turun sama-sama pada 29 Jun ini dan memperjuangkan hak kita sebagai rakyat negara ini dan kerajaan tidak patut melakukan sebarang tindakan intimidasi bagi menghalang kami melakukan sedemikian.

“Kita tidak mahu membiarkan semakin banyak lagi masalah sebegini untuk terus berlaku memandangkan kehidupan rakyat negara ini sudah cukup terbeban.

“Ini termasuklah dengan ada yang sampai kes rumah disita kerana tidak mampu bayar pinjamannya, lebih-lebih lagi apabila wang simpanannya dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaannya (KWSP) sendiri pun kerajaan tak benarkan.

“Kes rumah kena sita sudah semakin berleluasa dalam negara ini dan perkara sebegini perlu diberikan perhatian,” jelasnya.

Demonstrasi Rakyat Lawan Anwar Round 1

YB Viral menyatakan, beliau tidak mahu lagi melihat kerajaan melakukan perkara-perkara yang salah sehingga menyebabkan rakyat yang menjadi mangsa keadaan.

Katanya, tindakan kerajaan sekarang ini hanya akan mempromosikan lagi perhimpunan tersebut.

“Jadi, saya berterima kasih kepada kerajaan kerana secara tidak langsung telah mempromosikan lagi demonstrasi Rakyat Lawan Anwar Round 1 pada 29 Jun ini.

“Dalam demonstrasi tersebut kita akan membuat lapan tuntutan termasuklah menurunkan harga minyak diesel, tangani kos sara hidup dan jangan membisukan rakyat.

“Maka saya berharap orang ramai untuk turun ke demonstrasi tersebut dan sama-sama kita menggesa kerajaan supaya melakukan perubahan yang sewajarnya bagi menjaga rakyat,” katanya.

Terdahulu, pada jam 3 petang hari ini, YB Viral bersama-sama Dayangku Intan dan Siti Zulaikha telah hadir di  IPD Dang Wangi untuk disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

Sementara itu, Dayangku Intan mengucapkan banyak terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana memberikan layanan yang baik dalam sesi siasatan.

Namun, beliau juga menggesa pihak yang terlibat supaya menghentikan perbuatan sehingga mereka dipanggil pihak polis,  memandangkan mereka bertiga hanya memperjuangkan hak rakyat sahaja tanpa ada sebarang agenda politik.

“Kalau rasa nak buat laporan mengenai video kami yang berkaitan perhimpunan tersebut, kami tiada masalah tapi biarkan video tersebut ditonton oleh orang ramai,” katanya.

Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 58, menerima sijil keahlian parti PAS yang disampaikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Majlis Semarak Gemilang Rakyat Bersama Perikatan Nasional (PN) di Ladang Alam Warisan, Kampung Tengah, Seri Menanti, pada 21 Januari 2023.

Beliau yang pernah menyertai PKR pada 2012 mengumumkan menyertai PAS dan menyerahkan borang permohonan keahlian pada Disember 2022. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -