Pengorbanan tidak terhenti dengan kemenangan

- Advertisement -

LANGKAWI: Muslimat diseru agar terus berkorban masa, tenaga termasuk wang Ringgit walaupun Kedah sudah diterajui PAS dan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali menegaskan mesej itu dalam ucapan pergulungan sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Kedah Kali Ke-55, di Hotel Adya, hari ini.

“Sekarang ini ya, kita berada di zaman kemenangan, tetapi kita tidak tahu apa yang akan berlaku di zaman anak cucu kita nanti.

“Sekiranya pengorbanan yang kita lakukan sebelum ini kita tidak teruskan, apakah nanti yang akan mereka (anak cucu) mewarisi dari kita nanti,” kata beliau.

Tegasnya, apa yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan orang terdahulu, kemudian diwariskan untuk dikembangkan kepada generasi seterusnya.

“Kita keluar (lahir) dari perut emak kita dulu pun, tak tau apa-apa. Tapi Allah beri kita pelbagai ilmu, boleh mendengar dan lain-lain.

“Begitu juga dengan perjuangan ni, kita sambung dan ambil dari pengorbanan orang dulu. Depa (mereka) sanggup menabung seringgit dua untuk jemaah. Perjuangan ini kita dapat dirasai hingga ke hari ini,” ujarnya lagi.

Ashah yang juga ADUN Merbau Pulas dan Exco Kerajaan Negeri Kedah, turut mengingatkan perwakilan agar jangan rasa ‘selesa’ dengan kemenangan yang diraih pada PRU dan PRN ke 15 lalu.

“Ikut mata kasar, memang susahlah pihak lawan nak ambil balik DUN-DUN dan parlimen yang kita menang sebab majoriti tinggi tetapi kita kena ingat, Allah sedang melihat kita, bila-bila Dia (Allah) boleh uji kita.

Maka kenalah jadi manusia yang bersyukur dan tidak berkira dengan jemaah,” tegas beliau.

Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah Kali Ke-55, yang berlangsung selama dua hari bermula 21 Jun, dirasmikan oleh Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -