Masalah air Pulau Pinang bukan hanya di Sungai Bakap

- Advertisement -

KULIM-BANDAR BAHARU: Masalah bekalan air di negeri Pulau Pinang adalah satu isu yang bukan hanya berlaku di Sungai Bakap atau bahagian Seberang Perai, tetapi juga meliputi kawasan-kawasan di sebelah pulau.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff mendedahkan isu tersebut semasa berucap dalam Ceramah Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Kedah ke PRK N.20 DUN Sungai Bakap di Relau, di sini malam tadi.

Beliau mengimbas kejadian pada Januari lalu apabila dua injap utama Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua terpaksa ditukar di mana telah menyebabkan gangguan bekalan air antara empat hingga lima hari termasuk di bahagian pulau.

- Advertisement -


Menurutnya, perkara tersebut menyebabkan sebahagian besar rakyat mengeluh hinggakan 15 ADUN dan Ahli Parlimen DAP menulis surat bantahan yang memberi tekanan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sehubungan itu beliau memberi peringatan kepada rakyat negeri untuk tidak tertipu dengan janji dan gambaran cuba dibuat oleh pihak Pakatan Harapan (PH) kononnya masalah tersebut akan selesai dengan segera.

Katanya, PH sudah memerintah Pulau Pinang sejak tahun 2008 di mana masalah air khususnya di Sungai Bakap sudah berlaku sejak enam tahun lalu dan DUN itu pernah tiga penggal diwakili ADUN PKR, namun hingga kini ianya tidak pernah diselesaikan.

“Ni sempena dengan PRK ni air laju di Sungai Bakap. Ini bermakna bukan masalah tekanan air, ini masalah dia ialah air itu dialirkan (secara kawalan tertentu) ataupun dialirkan kepada pihak yang lain,” ujarnya.

ADUN Sungai Dua yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang ini turut mendedahkan, dalam Persidangan DUN Pulau Pinang terbaharu, isu air paling hangat diperkatakan oleh Ahli-ahli Dewan.

Terutama katanya, berkenaan kenaikan tarif air sehingga 200 peratus sedangkan air mentah diproses di negeri itu dan menjadi kegunaan 80 peratus penduduknya adalah bersumberkan Sungai Muda yang berpunca dari negeri Kedah.

Sehubungan itu beliau berharap pengundi akan memilih calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abidin Ismail untuk meneruskan perjuangan ADUN Sungai Bakap, Almarhum Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Menurutnya, Almarhum bukan sahaja antara yang sentiasa mengangkat isu masalah bekalan air di Sungai Bakap, tetapi juga cukup dikenali dan disayangi penduduk kerana khidmat baktinya di mana kesinambungan itu akan diteruskan Abidin. – HARAKAHDAILY 22/6/2024

- Advertisement -