Maruah Perdana Menteri tercalar, gagal bela rakyat

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang dikritik rakyat hinggakan pemimpin itu dipermainkan di media sosial.

- Advertisement -

Malah katanya, tindakan-tindakan terkini Anwar termasuk di Sungai Bakap telah menunjukkan bahawa Perdana Menteri itu tidak memiliki maruah.

“Penyasaran subsidi yang diperkenalkan tersasar, ramai yang layak tidak mendapat bantuan. Contohnya, pekerja yang mengangkut bahan binaan dan peniaga pasar malam tidak mendapat subsidi,” katanya.

Menurut Ustaz Afnan, kenaikan harga barang hanya merugikan rakyat, manakala pihak yang untung adalah mereka yang mengaut keuntungan daripada dasar-dasar kerajaan.

Beliau juga mengkritik dasar dilaksanakan pemimpin itu sering berubah-ubah atau flip-flop yang menyebabkan pelabur hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

“Sepatutnya perlaksanaan subsidi diesel dilakukan untuk membanteras penyeludup, tetapi kenapa semua rakyat yang terkesan. Jika ingin membanteras penyeludup, pergilah cari penyeludup, bukan menyusahkan rakyat,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan kenapa langkah membanteras subsidi tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak tetapi hanya di Semenanjung.

“Ini menunjukkan kerajaan hanya menjaga kerusi dan undi di Sabah dan Sarawak untuk kepentingan politik, bukan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Ustaz Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Jentera PERIKATAN NASIONAL (PN) di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Kechil, di sini semalam.

Beliau mengajak rakyat untuk berfikir secara rasional mengenai dasar-dasar kerajaan yang dianggap menyusahkan rakyat dan menekankan pentingnya memilih pemimpin yang benar-benar berjuang untuk kesejahteraan rakyat, bukan untuk kepentingan diri sendiri. HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -