Yayasan Amal ke Afghanistan misi bantuan banjir

- Advertisement -

KABUL, Afghanistan: Yayasan Amal Malaysia (YAM) telah menggerakkan misi kemanusiaan bagi membantu lebih 60,000 penduduk yang terkesan akibat bencana banjir di Afghanistan.

- Advertisement -

Misi sempena sambutan Aidiladha itu berfokus di Baghlan iaitu satu daripada tiga wilayah yang ditimpa banjir pada kejadian 10 dan 11 Mei lalu selain Badakhsan dan Takhar yang terletak di utara Kabul.

Data Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) menyatakan lebih 5,000 keluarga terjejas akibat banjir itu dengan 347 angka kematian dicatatkan.

Naib Presiden YAM, Norazman Ishak mengetuai misi telah tiba Sabtu lalu sebelum bergerak ke Baghlan sehari kemudiannya melalui Salang Pass Lebuhraya Kabul-Kunduz yang bergunung-ganang.

Perjalanan mengambil masa lebih 10 jam di mana pasukan sukarelawan dapat menyaksikan mangsa banjir berlindung dalam khemah-khemah sementara setelah kediaman mereka musnah sepenuhnya.

“Yayasan Amal Malaysia adalah NGO Malaysia pertama sampai ke sini sempena Aidil Adha. Kami berterima kasih atas bantuan rakyat Malaysia ini,” kata Koordinator NGO tempatan EHSAS, Sahibullah ketika ditemui di Kampung Fulull di daerah Burkah di Baghlan.

Hasil sumbangan ramai, YAM mengagihkan 1,000 pek makanan sedia  dimakan kepada penduduk di kawasan itu sebelum mengagihkan bekalan makanan untuk sebulan kepada 100 keluarga terjejas.

“Kita akan terus komited membantu Afghanistan. Bantuan kepada mangsa banjir ini sempena misi Amal Qurban di Afghanistan pada tahun ini,” kata Norazman.

Yayasan Amal Malaysia juga turut mengagihkan daging korban meliputi tujuh ekor lembu dan dua ekor kambing kepada penduduk tempatan terjejas banjir di Baghlan.  

“Terima kasih kerana datang ke kampung kami dan mengagihkan daging korban kepada kami,” kata mangsa banjir dari Kampung Fulul, Janakha.

Projek agihan daging korban amanah rakyat Malaysia itu turut membabitkan empat ekor kambing diagihkan di Kunduz, terletak di utara Afghanistan.

Sempena misi kemanusiaan kali ini, Yayasan Amal Malaysia turut mengagihkan 5,100 al-Quran wakaf di madrasah-madrasah di Kabul, Baghlan dan Kunduz serta membina empat telaga tiub. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -