PRK Sungai Bakap: Abidin Ismail calon rakyat untuk rakyat

Calon PERIKATAN NASIONAL dalam PRK Sungai Bakap, Abidin Ismail (kanan) yang dilahirkan, menetap, membesar dan berkhidmat di Sungai Bakap merupakan calon rakyat untuk rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengundi Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap diseru mengundi calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN), Abidin Ismail yang merupakan anak jati tempatan dan merupakan calon rakyat pada 6 Julai ini.

Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, Abidin dilahirkan, menetap, membesar dan berkhidmat di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

- Advertisement -

“Langsung tiada keraguan akan kemampuan calon PN dari parti PAS ini untuk membela hak-hak rakyat di setiap lapisan. Mencari solusi berdasarkan masalah serta keperluan sebenar yang dihadapi rakyat Sungai Bakap.

“Insya-Allah, penerus legasi pemimpin berjiwa rakyat di Sungai Bakap. Ingat, Pilihan Raya Kecil (PRK) ini bukan sekadar pangkah kertas undi tetapi ia menentukan arah politik dan pembangunan Sungai Bakap. 

“Adakah kita mahukan calon rakyat atau calon kerajaan PH-BN? Tepuk dada tanya diri, calon bagaimana yang rakyat Sungai Bakap perlukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, menurut Zurk, pengundi Sungai Bakap diseru memilih calon rakyat daripada Perikatan Nasional yang benar-benar mewakili suara dan kepentingan rakyat dan bukannya calon yang membawa ‘suara’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) dengan segala gula-gula yang buat rakyat kelabu mata.

Sebelum ini katanya, pengundi Sungai Bakap telah membuktikan dengan memilih calon yang dekat dengan rakyat iaitu Allahyarham Nor Zamri Latiff yang diangkat sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu.

“Selama 10 bulan Allahyarham menjadi ADUN, orang Sungai Bakap dapat menyaksikan sendiri kesungguhan Allahyarham dalam membawa suara rakyat di sidang DUN untuk isu bekalan air serta isu pemilikan rumah.

“Inilah kesan besar apabila memilih calon yang dekat dan memahami rakyat. Kali ini, PN sekali lagi menawarkan calon rakyat yang telah setia berkhidmat bersama Abang Zam di Sungai Bakap,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -