‘PMX tak pandai tadbir negara’- Wan Saiful

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ranking Malaysia yang jatuh tujuh anak tangga dalam Daya Saing Global (WCR) 2024 menunjukkan bukti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) tidak pandai dan gagal mentadbir negara.”

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata demikian, sambil menegaskan bahawa kejatuhan ranking ke tangga 34 dunia ini jelas berlaku di zaman pemerintahan PH-BN yang dipimpin Anwar bersama parti-parti dalam kerajaan yang tidak kompeten.

- Advertisement -

“Ini membuktikan Malaysia semakin hilang daya saing. Tidak kompetennya Anwar Ibrahim dalam mentadbir ekonomi negara menyebabkan perkara ini berlaku.

“Hala tuju negara, tak tahu ke mana. Kita perlu persalahkan Anwar dalam hal ini. Anwar sebagai Perdana Menteri selalu berjalan ke sana ke sini memberitahu negara yang dia pimpin adalah negara yang korup.

“Kalau Perdana Menteri sendiri mengatakan negara sendiri adalah buruk, bagaimana pelabur-pelabur asing nak yakin kebolehan dan kemampuan negara kita?” katanya.

Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, perkara ini merupakan satu bukti kegagalan dan beliau menjangkakan Perdana Menteri akan kata bahawa beliau tidak kisah, di mana perangai tak kisah ini akan dijadikan alasan.

“Kita ada kepimpinan yang tidak kompeten dan tidak kisah kedudukan negara akibat daripada tidak kompeten mereka ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -