PAS Selangor bidas Menteri Komunikasi

Zurk Ahmad (kanan) dan Fahmi Fadzil.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor amat kecewa dengan Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan PH-BN, Fahmi Fadzil yang disifatkan sebagai ‘tidak bersedia, tidak membaca, tidak mengkaji dan tidak memahami’ isu kejatuhan Malaysia dalam ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 yang sangat memalukan negara ketika ini.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad dalam kenyataannya membidas Fahmi dengan berkata, Menteri Komunikasi itu tidak bersedia sehingga tidak mampu memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia berkenaan isu tersebut, yang jelas menunjukkan kegagalan Kerajaan PH-BN.

- Advertisement -

“PAS Negeri Selangor mencadangkan agar sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) masih tidak mempunyai halatuju ekonomi yang jelas dan mapan, maka  rujuklah pimpinan-pimpinan Perikatan Nasional (PN).

“(Pimpinan PN perlu dijadikan rujukan berikutan) yang telah terbukti dan diiktiraf dunia berjaya mentadbir negara dengan cemerlang ketika negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19,” tegas beliau.

Menurut Zurk lagi, berdasarkan laporan WCR 2024, Malaysia dilaporkan telah jatuh ke kedudukan ke-34 daripada 67 negara dan menjadi negara yang ke-4 dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura, Thailand dan Indonesia.

“PAS Negeri Selangor ingin menarik perhatian ramai pihak bahawa kejatuhan kedudukan Malaysia dalam WCR 2024 seperti yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) ini telah membuktikan bahawa terdapat banyak masalah fundamental (asas) dan struktur dalam pelaksanaan Ekonomi madani oleh Kerajaan PH-BN hari ini.

“Kejatuhan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 ini juga sebenarnya membuktikan bahawa kegusaran serta kegelisahan rakyat Malaysia khususnya yang berada di Selangor sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan PH-BN selama ini berasas, benar dan bukannya sentimen atau persepsi media seperti yang didakwa oleh pimpinan Kerajaan PH-BN,” katanya.

Terdahulu, Fahmi dalam laporan media tempatan semalam dilaporkan sebagai berkata, beliau menyerahkan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menjelaskan mengenai kejatuhan kedudukan Malaysia dalam WCR) 2024.

Fahmi berkata, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sudah memaklumkan kepadanya dan akan memberi penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

“Perkara itu akan dijawab oleh Menteri MITI, beliau ada maklumkan akan jawab perkara ini, beri sedikit masa kepada pasukan MITI untuk mengkaji apa yang dimaksudkan, apa yang berlaku kerana realitinya tahun ini kita menyaksikan jumlah pelaburan yang sangat tinggi terutama dalam sektor semikonduktor, sektor data center dan juga dalam bidang kecerdasan buatan (AI),” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!