Masa terluang, Munir akan bersama masyarakat

- Advertisement -

SELAKU Exco Kerajaan Negeri Kedah, tentunya beliau tidak betah tinggal di rumah, berikutan sibuk dengan urusan sama ada menghadiri mesyuarat mahupun program anjuran kerajaan.

- Advertisement -

Sungguhpun begitu, sedikit masa yang terluang tidak dibiarkan berlalu sebaliknya ADUN Kuala Nerang, Mohamad Yusuff@Munir Zakaria menggunakan untuk turun ke lapangan bersama masyarakat.

Sehari menjelang Aidiladha, beliau  bersama ahli jawatankuasa Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Kuala Nerang bersama penduduk kampung bergotong-royong membersihkan persekitaran Masjid Kampung Tengah.

Gotong-royong yang diadakan itu digerakkan bersama Kelab Rukun Tetangga Kampung Dalam dan Kelab Belia Prihatin Kampung Tengah. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah menanam pokok bunga, mengecat kawasan masjid, membersihkan kawasan sekitar dan lain-lain.

Munir berkata, program gotong-royong itu bertujuan memperindah dan meningkatkan kebersihan kawasan masjid serta mempereratkan silaturahim dalam kalangan penduduk.

“Saya berharap agar semangat gotong-royong ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti serta menjadi contoh kepada masyarakat,” kata beliau.

Munir turut menyumbang beberapa batang pokok bunga dan kelapa pandan untuk ditanam di kawasan masjid berkenaan.

Selepas itu beliau meneruskan aktivitinya meninjau keadaan padang bola di Kampung Tengah yang dilaporkan agak kurang memuaskan untuk kegunaan anak-anak muda kampung tersebut beriadah serta bersukan.

Tidak hanya meninjau, sumbangan untuk menyewa ‘backhoe’, lori dan traktor memulihkan padang tersebut turut dihulurkan agar padang bola yang telah dibaik pulih itu kembali menjadi pusat aktiviti riadah dan sukan bagi penduduk kampung.

“Inisiatif itu secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada golongan muda di Kampung Tengah, sekaligus menyediakan kemudahan sukan yang selesa dan selamat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 21/6/2024