Majoriti NGO tempatan bersuara isu diesel 

Shehdi Hazrik Shamsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hampir semua pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyuarakan kebimbangan mereka bahawa ketiadaan subsidi diesel untuk NGO tempatan akan meningkatkan kos pengurusan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM), Shehdi Hazrik Shamsudin, berkata majoriti mereka menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis diesel untuk membawa barangan bantuan ke kawasan yang memerlukan dan bencana.

- Advertisement -

“Kami para NGO mengambil maklum tindakan merasionalkan subsidi ini bagi membendung kerugian kewangan negara dengan sebab kegiatan penyeludupan dan ketirisan. Namun kerajaan dimaklumkan mampu berjimat sehingga RM4 bilion setahun.

“Sepatutnya simpanan ini perlu dikembalikan kepada rakyat dan mereka yang membantu rakyat seperti NGO-NGO kebajikan dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Shehdi berkata, ketiadaan subsidi diesel yang diperuntukkan kepada NGO tempatan akan memberi kesan ke atas aktiviti harian setiap agensi yang bertujuan bagi membantu penduduk dan rakyat yang memerlukan.

“Bagi kami, di Jabatan Amal di bawah NGO Khidmat Malaysia dengan kerjasama NGO Kebajikan Putra Mahkota, setiap tahun kami bergerak menghantar daging korban kepada rakyat yang memerlukan.

“Antaranya ialah rumah asnaf, pusat tahfiz, anak yatim, warga emas dan pihak berkuasa tempatan di sekitar Parlimen Hulu Langat dengan mengunakan kenderaan pacuan empat roda yang didaftarkan atas nama NGO atau pemegang amanah.

“Kebanyakan dari kami mengisi minyak menggunakan duit poket sendiri atau sumbangan orang ramai dan kenaikan harga diesel yang mendadak ini memang agak terkesan dan meningkatkan lagi kos operasi kami selepas ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan dapat menyediakan dengan lebih luas lagi platform bantuan subsidi bersasar kepada setiap NGO tanpa mengira bangsa di seluruh negara.

“Isu ini sememangnya terkesan sama ada secara langsung atau tidak atas tindakan drastik kenaikan harga diesel ini.

Terdahulu, harga diesel di Malaysia dengan jumlah subsidi sebelum pelarasan semula, dijual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu RM1.65 bagi nelayan; RM1.88 bagi pengangkutan awam darat; RM2.15 bagi kenderaan komersial dan persendirian, serta pernah mencecah RM3.60 bagi sektor komersial tanpa subsidi. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -