Kekal berperang: Zionis Israel serang Rafah, serbu Tebing Barat

- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA/TEBING BARAT: Bumi Palestin kian terhimpit apabila pertempuran di Rafah, Semenanjung Gaza antara pejuang Islam Hamas dan tentera Zionis Israel semakin sengit; manakala tentera Israel turut menyerbu dan melakukan beberapa tangkapan di Tebing Barat.

Kereta kebal tentera Israel telah masuk lebih jauh ke barat Rafah di selatan Gaza, dan melepaskan tembakan ke arah khemah pelarian Palestin, dengan sebuah kenderaan berperisai Zionis diletupkan oleh bahan letupan buatan Hamas pada Khamis.

- Advertisement -

“Tentera Zionis Israel telah melakukan serangan udara maut di seluruh Gaza sejak 24 jam lalu, termasuk serangan ke atas sebuah rumah yang telah membunuh lapan penduduk di kejiranan Zeitoun, Kota Gaza,” lapor Al Jazeera.

Sehubungan itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada pengeluar senjata supaya tidak berterusan menghantar senjata ke Israel, dengan mengatakan ia boleh membuatkan mereka terlibat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dijalankan di Gaza.

Dalam pada itu, Rumah Putih menyifatkan kritikan Presiden Israel, Benjamin Netanyahu terhadap penggantungan satu penghantaran senjata Amerika Syarikat ke Israel sebagai ‘menjengkelkan’ dan ‘mengecewakan’ ketika keretakan hubungan kedua-dua sekutu itu didakwa  terus meningkat.

Sekurang-kurangnya 37,431 orang awam Palestin terkorban dan 85,653 yang lain cedera dalam perang genosid Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023. 

Sementara itu, tentera Israel dilaporkan telah melakukan serbuan di Tebing Barat yang diduduki dan menangkap empat warga Palestin di lokasi berbeza di situ.

Seorang lelaki ditahan selepas tentera Zionis menyerbu rumahnya di bandar Silwad, timur laut Ramallah, manakala lelaki kedua ditahan di bandar Azmut, timur Nablus.

Dua warga Palestinlain  juga telah ditahan di bandar Qalqilya, termasuk bapa kepada seorang lelaki yang dikehendaki tentera Israel. Dia dilaporkan telah ditahan untuk mendesak anaknya itu supaya menyerahkan diri.

Serbuan pihak berkuasa Israel turut dilaporkan di beberapa lokasi lain di seluruh Tebing Barat yang diduduki, termasuklah di pekan Seneria, selatan Qalqilya; pekan Bizzariya, barat laut Nablus; kota Dura, selatan Hebron, dan kem pelarian Jalazone, utara Ramallah. – Agensi/– HARAKAHDAILY 21/6/202

- Advertisement -