Diesel: Kontraktor resah harga bahan naik

- Advertisement -

KANGAR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Perlis menggesa kerajaan memantau dan melaksanakan penguatkuasaan kenaikan harga bahan binaan yang dilaporkan meningkat sekitar 30 peratus.

- Advertisement -

Yang Dipertua PKBM Perlis, Norhayati Hashim berkata, peningkatan harga yang tidak terkawal melibatkan bahan binaan seperti simen, pasir dan batu itu berlaku sejak penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas.

Katanya, situasi itu menambah tekanan kepada kontraktor Bumiputera dalam melaksanakan projek mereka.

“Kami sebagai kontraktor merasa peralihan harga yang agak ketara dengan belian barang di kedai hardware dengan kenaikan sekitar 30 peratus daripada harga asal.

“Peningkatan ini tampak berleluasa dan tidak terkawal, seolah-olah ada pihak yang mengambil kesempatan dengan kenaikan diesel ini.

“Kami memohon pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) untuk memantau harga bahan binaan ini,” kata Norhayati ketika ditemui media, di sini semalam.

Norhayati juga menekankan bahawa kos pengangkutan seperti lori tipper dan jentera berat termasuk backhoe turut meningkat sekitar 30 peratus apabila subsidi tidak diberikan oleh kerajaan untuk kenderaan tersebut.

Sehubungan itu, beliau memohon agar kerajaan mempertimbangkan subsidi diesel untuk lori tipper dan jentera berat bagi memastikan kos pelaksanaan projek tidak terus meningkat, sekali gus mengurangkan beban kontraktor Bumiputera.

“Kami PKBM Perlis memohon subsidi untuk pengusaha lori tipper dan peralatan pembinaan seperti backhoe dan kren, kerana semua ini mengalami kenaikan yang menekan kami,” tambah beliau.

Norhayati juga berharap terdapat kelonggaran bagi pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) untuk kontraktor kelas G1 hingga G4, di mana harga baharu boleh dikira mengikut kadar semasa bahan binaan bagi projek kerajaan telah dianugerahkan.

“Contohnya, jika kita mendapat kontrak bernilai RM200,000 yang telah dianugerahkan, tetapi dengan kos yang meningkat, kita tidak mendapat keuntungan.

Namun begitu, pihaknya menyokong usaha kerajaan dalam penyasaran subsidi diesel demi kebaikan negara untuk jangka panjang tetapi pada masa yang sama merayu kerajaan mempertimbangkan beban yang dihadapi. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -