Dayangku Intan dipanggil ke IPD Dang Wangi, bantu siasatan

Dayangku Intan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Artis popular era 1980-an, Dayangku Intan merupakan antara tiga aktivis kepentingan awam dan pembentuk pendapat daripada gerakan masyarakat sivil, Demi Negara yang dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, esok, Sabtu (22 Jun).

Selain Dayangku Intan, dua yang lain ialah Aidil Yunus yang dikenali di media sosial sebagai YB Viral dan Siti Zulaikha Olivia.

- Advertisement -

Demi Negara dalam kenyataan medianya kepada Harakahdaily pada hari ini berkata, ketiga-tiga Dayangku Intan, YB Viral dan Siti Zulaika dipanggil ke IPD Dang Wangi pada jam 3 petang esok untuk disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

“Siasatan terhadap mereka (Dayangku Intan, YB Viral dan Siti Zulaikha) adalah berhubung demonstrasi Rakyat Lawan Anwar Round 1 yang bakal dianjurkan Demi Negara dijadualkan diadakan pada 29 Jun 2024 (Sabtu) di hadapan Kompleks Seri Perdana Putrajaya.

“Sehubungan itu, Demi Negara akan mengadakan sidang Media di luar IPD Dang Wangi esok (22 Jun) bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai demonstrasi yang dijadualkan pada 29 Jun itu.

“Pihak media dijemput untuk membuat liputan ini, dan sidang media dijangka akan bermula kira-kira jam 5 petang. Sila hubungi Cik Ili di talian 019-6841654 untuk maklumat lanjut,” ujar kenyataan Demi Negara. 

Terdahulu, Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid, 58, merupakan antara empat penerima sijil keahlian parti PAS yang disampaikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Majlis Semarak Gemilang Rakyat Bersama Perikatan Nasional (PN) di Ladang Alam Warisan, Kampung Tengah, Seri Menanti, pada 21 Januari 2023.

Beliau yang pernah menyertai PKR pada 2012 mengumumkan menyertai PAS dan menyerahkan borang permohonan keahlian pada Disember 2022. – HARAKAHDAILY 21/6/202

- Advertisement -