49 jalan raya di Selangor ditutup Ahad ini

Ab Halim Tamuri
- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor memaklumkan sebanyak 49 jalan raya ditutup secara berperingkat sempena kejuaraan Selangor International Race (SIR) 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Ahad ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, notis penutupan jalan raya secara berperingkat merupakan perkara biasa bagi melangsungkan sesuatu program.

“Acara berbasikal adalah sukan yang semakin diminati oleh orang ramai dan program ini dapat menarik minat oleh banyak pihak,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Paya Jaras turut menasihati kepada orang ramai agar mengikuti arahan daripada pihak berkuasa supaya program tersebut berjalan lancar dan keselamatan pelumba dan penonton turut terkawal.

“Bagi penduduk setempat pula boleh menggunakan laluan alternatif untuk keluar masuk semasa tempoh penutupan sementara di kawasan terlibat,” katanya.

Media tempatan melaporkan bahawa acara berbasikal anjuran SIR 2024 telah mendapat kerjasama daripada Selangor Youth Community (SAY), Cycling Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Arena Asia Malaysia.

Acara ini melibatkan laluan sejauh 145 kilometer bermula dari ibu pejabat PKNS dan merentasi lebuh raya, laluan berbukit serta projek perbandaran PKNS seperti Kota Puteri, pekan ljok dan berakhir di Shah Alam.

Selain Malaysia, SIR 2024 turut menghimpunkan pelumba dari Britain, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Jerman bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 dalam dua kategori perlumbaan iaitu profesional dan amatur.

Orang ramai juga boleh menekan pautan https://www.facebook.com/share/p/6Tkaj8w1zVgEb6LF/?mibextid=oFDknk untuk melihat penutupan kawasan yang terlibat yang disertakan dengan masa pada Ahad ini. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

- Advertisement -