Terjemah beban kenaikan diesel di kertas undi

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KOTA BHARU: Tiada guna orang ramai menyuarakan kemarahan ekoran kenaikan harga diesel hanya di media sosial, sedangkan hasilnya tidak ke mana-mana.

- Advertisement -

Sebaliknya, Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Dato’ Siti Zailah Nohd Yusoff meminta orang ramai yang tinggal di kawasan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) menterjemahkan kemarahan di kertas undi.

Katanya, peluang keemasan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang melepaskan kemarahan kepada kerajaan PH-BN di kertas undi pada 6 Julai ini.

“Begitu juga pengundi di DUN Nenggiri, Gua Musang boleh melakukan perkara serupa di kertas undi nanti,” katanya di sini.

Semalam, Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu (12 Jun) lalu.

Notis tersebut memaklumkan ADUN terbabit hilang keahlian Bersatu sehingga menyebabkan berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan selaras Fasal 1 Perkara 31A.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, rakyat yang amat terkesan dengan kenaikan harga diesel memandangkan harga keperluan harian semakin meningkat.

Katanya juga tidak mustahil harga petrol juga akan naik kerana kerajaan Madani mahu mengurangkan subsidi tanpa menghiraukan bebanan rakyat.

“Hari ini ramai bercakap harga barangan keperluan harian seperti sayuran, ikan dan lain-lain meningkat. Sekadar harga telur kurang 3 sen tidak memadai.

“Tidak dapat ditolak selepas PRK nanti harga petrol turut naik dan ia memberi kesan berganda kepada kehidupan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -