Surau baru di Pantai Batu Buruk siap Julai

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Surau awam Pantai Batu Buruk berusia 20 tahun dinaik taraf oleh anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad dengan peruntukan sebanyak RM100,000.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, pembinaan surau dan tandas di kawasan itu telah bermula sejak akhir Mei lalu dan dijangka siap Julai ini.

“Kita menerima banyak aduan dan rungutan berkenaan masalah fasiliti surau yang kurang memuaskan terutama daripada pengunjung yang berkunjung ke sini,” ujarnya kepada pemberita di tapak pembinaan surau tersebut, di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili.

Sebelum ini, katanya masalah tekanan air rendah serta fasiliti kurang memuaskan sehingga menyukarkan urusan orang ramai untuk menjalankan urusan ibadah dalam keadaan baik dan lancar.

“Selepas berbincang bersama bersama Ahli Lembaga Pengarah EPIC, kita bersetuju untuk menaik taraf surau ini untuk kemudahan orang ramai,” katanya.

Ahmad Amzad yang juga Pengarah EPIC Berhad berkata, penyelenggaraan surau yang mampu memuatkan seramai 50 jemaah dalam satu-satu masa itu akan berada di bawah tanggungjawab syarikat.

Tambahnya, pihak EPIC akan bertanggungjawab menguruskan utiliti surau itu dan akan memastikan ia terjaga, indah dan bersih.

“Kita juga mahu tempat ini dimanfaatkan sepenuhnya serta tidak menjadi tempat golongan gelandangan tidur dan sebagainya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -