Speaker Selangor perlu isytihar kekosongan DUN Selat Klang

Wan Ahmad Fahysal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Saya menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng Seng untuk mengisytiharkan kekosongan di kerusi DUN Selat Klang sepertimana yang berlaku di DUN Nenggiri di Kelantan.”

Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mengucapkan tahniah kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang telah mengisytiharkan kekosongan DUN Nenggiri.

- Advertisement -

“Ini selaras dengan Seksyen 31A Enakmen Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi memberi laluan kepada suatu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan,” katanya.

Menurut beliau, tindakan sebegini adalah selaras dengan kehendak rakyat dan sebagai menghormati matlamat demokrasi di sebalik Undang-Undang Larangan Bertukar Parti yang telah diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada tahun 2022.

“Demi menghormati prinsip demokrasi dan hak rakyat, saya menggesa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Johari Abdul untuk mengikuti jejak langkah Speaker DUN Kelantan bagi mengisytiharkan kekosongan di 6 buah kerusi Parlimen yang mana ahli-ahlinya telah tergugur keahlian Bersatu masing-masing.

“Ini adalah selaras dengan Perlembagaan Parti dan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Antara ahli Parlimen Bersatu yang dilucutkan keahliannya ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) serta Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga merupakan ADUN Nenggiri.

Justeru, beliau menggesa Speaker DUN Selangor dalam melakukan perkara yang sama memandangkan ahlinya, Datuk Abdul Rashid Asari juga telah tergugur keahlian parti setelah meninggalkan perjuangan parti itu sendiri.

“Perkara sebegini adalah penting agar hak rakyat dikembalikan dan mandat baharu ditentukan oleh rakyat semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -