Speaker Dewan Rakyat wajar jejaki langkah Kelantan

Banyak kampung di DUN Nenggiri dihubungi melalui sungai.
- Advertisement -

GUA MUSANG: Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor wajar mencontohi langkah Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi wakil rakyat melanggar Akta Anti Lompat Parti sebagai kosong.

- Advertisement -

Mereka memberitahu tujuan akta itu diwujudkan bagi menghalang mana-mana wakil rakyat belot selepas mendapat mandat rakyat.

Pemimpin masyarakat di RKT KESEDAR Jeram Tekoh, Mohd Fazli Zin berkata, biarpun pelbagai tafsiran mengenai Akta Anti Lompat Parti, namun kena tengok tujuan asal akta itu diwujudkan.

Katanya, akta itu digubal kerajaan bagi menghalang mana-mana wakil rakyat melompat parti selepas mendapat mandat rakyat.

“Namun apa yang berlaku sekarang, wakil rakyat yang menang bukan melompat parti, sebaliknya sekadar menyokong parti lain.

Mohd Fazli Zin

“Bagi rakyat menyokong parti lawan atau bertukar parti asasnya sama iaitu belot daripada perjuangan,” katanya di sini.

Semalam Speaker DUN Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas bekas Adun terbabit hilang keahlian Bersatu.

Bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri di mana ia bertentangan dengan arahan parti. 

Fazli yang juga Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang, keputusan dibuat Speaker DUN Kelantan membuktikan demokrasi masih segar di persada politik tanah air.

Amran Abdullah dari Bandar Baru Gua Musang pula berkata, tidak berbangkit dakwaan seorang peguam mengatakan tindakan Mohd Amar mengisytiharkan DUN Nenggiri kosong bermotif politik.

Katanya, pelantikan Speaker di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan DUN adalah dibuat berasaskan pertimbangan politik parti yang memerintah.

“Kita kena beza pelantikan dan bidang tugas Speaker yang perlu memperlihatkan tidak memihak ketika mengendalikan sidang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -