PMX perlu akui realiti sebenar ekonomi negara

Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui realiti sebenar bahawa ekonomi Malaysia tidak bertambah baik di bawah kepimpinannya.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia yang merudum ke tangga ke-34 pada tahun ini adalah suatu tamparan hebat buat PMX; dan seruan lantang untuk beliau berhenti menjadi ‘kaki retorik’ dan ‘maha putar’. 

- Advertisement -

“Data-data yang dibentangkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) dalam laporannya jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak berada pada landasan ekonomi yang betul,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut data itu tersebut, ujar Muhyiddin, kedudukan daya saing Malaysia merosot dalam semua bidang yang diukur kecuali infrastruktur, dengan penurunan ketara dalam sub-sektor ekonomi domestik turun 19 anak tangga ke kedudukan ke-35; dan dalam produktiviti dan kecekapan, jatuh 17 anak tangga ke kedudukan ke-53.

Apa yang lebih membimbangkan menurut Muhyiddin lagi, kecekapan sektor perniagaan di Malaysia yang berada di kedudukan ke-24 ketika pandemik Covid-19 melanda negara, kini  merosot hingga kedudukan ke-40 pada tahun ini. 

“Buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia ketinggalan di belakang Indonesia dan Thailand dalam ranking daya saing dunia. Ini adalah suatu fakta yang pahit untuk diterima kerana Malaysia sebelum ini pernah digelar sebagai Harimau Asia dengan kedudukan ekonominya yang kukuh dan berdaya saing,” tegasnya.

Muhyiddin turut menyatakan, PMX sepatutnya menjadi lebih tawaduk dan tidak lagi menyombong apabila melihat prestasi Malaysia dalam ranking daya saing dunia adalah lebih baik pada zaman pandemik iaitu di tangga ke-27 pada tahun 2020 dan tangga ke-25 pada tahun 2021 berbanding ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Tambah beliau, ini menunjukkan komuniti perniagaan dan perindustrian antarabangsa melihat Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang lebih baik pada masa itu berbanding sekarang. 

“Ini menunjukkan sesuatu yang amat tidak kena sedang berlaku dalam pengurusan ekonomi negara yang akan memberi impak negatif secara jangka panjang terhadap daya saing ekonomi Malaysia dan kemakmuran hidup rakyat.

“Masakan tidak, sejak mengambil alih pentadbiran negara hampir dua tahun lalu, hampir tidak ada satu pun berita baik tentang ekonomi negara yang diraikan oleh rakyat dan komuniti perniagaan di Malaysia,” jelas mantan Perdana Menteri ini.

Tambah beliau, terdapat banyak lagi perkara lain yang menjadi sebab mengapa daya saing Malaysia merudum seperti yang dilaporkan oleh IMD dalam laporannya. 

“Justeru, nasihat saya kepada Anwar, hentikan beretorik. Urus ekonomi negara dengan cermat dan bijak. Saya percaya rakyat Malaysia sudah letih dengan cara anda mentadbir negara dan mengurus ekonomi.

“Rakyat mahu Malaysia kembali menjadi kuasa ekonomi yang gemilang di rantau ini dan mengecap kehidupan yang lebih makmur. 

“Setakat ini kepimpinan anda membawa Malaysia ke lembah kemunduran, bukan maju ke mercu kegemilangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -