KUALA LUMPUR: Notis Pemakluman Kekosongan Kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahliannya secara serta merta telah diserahkan dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Whip Bersatu, Dr. Ronald Kiandee berkata, bagi pihak parti, kesemua Notis Kekosongan Kerusi Parlimen P.030 Jeli, P.032 Gua Musang, P.059 Bukit Gantang, P.067 Kuala Kangsar, P.095 Tanjong Karang dan P.166 Labuan tersebut telah beliau tandatangan.
“Semua maklum, semalam suatu precedent kekosongan luar jangka membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri juga telah diumumkan Yang Dipertua DUN Kelantan, Dato’ Sri Amar Diraja Dato’ Mohd Amar Abdullah,” katanya.
Menurut beliau, ini merupakan keputusan yang tepat mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan serta selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.
“Hal ini juga telah diperjelaskan oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
“Pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik adalah muktamad dan konklusif,” jelasnya.
Beliau menyatakan keyakinannya terhadap Tan Sri Johari yang mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seharusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2024