Hizbullah ikrar serang Israel habis-habisan

Hassan Nasrullah. (FOTO: AFP)
- Advertisement -

BEIRUT: Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah memberi amaran tiada tempat di Israel akan terlepas dari serangan kumpulan pejuang Islam Lubnan itu, jika peperangan skala penuh berlaku antara Hizbullah dan Zionis Israel.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan, Hizbullah juga akan bertindak menyerang Cyprus yang terletak hampir 270 kilometer dari Lubnan, jika Cyprus bertindak membenarkan tentera Zionis Israel menggunakan lapangan terbangnya, lapor Reuters. 

“Pihak musuh benar-benar tahu bahawa kita telah mempersiapkan diri kita untuk yang terburuk, dan tiada tempat akan terhindar dari roket kita. Israel perlu menjangkakan serangan kita di darat, laut dan udara.

- Advertisement -

“Musuh memang takut bahawa serangan dan pembalasan kita akan menembusi Galilea di utara Israel. Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di televisyen Lubnan pada Rabu. 

Nasrallah dalam pada itu berkata, kumpulan pejuang Hizbullah telah dimaklumkan bahawa Israel berkemungkinan akan menggunakan lapangan terbang dan pangkalannya di Cyprus jika pihaknya melancarkan serangan ke wilayah Israel. 

“Membuka lapangan terbang dan pangkalan Cyprus kepada musuh Israel untuk menyerang Lubnan bermakna kerajaan Cyprus adalah sebahagian daripada perang, dan pihak penentangan kami akan menanganinya sebagai sebahagian daripada perang,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hizbullah pada Selasa telah menyiarkan video berdurasi hampir sepuluh minit yang memaparkan rakaman dron yang didakwa dirakam di kawasan utara Israel, termasuk apa yang dikatakan sebagai kemudahan dan infrastruktur ketenteraan, pertahanan dan tenaga yang sensitif di bandar dan pelabuhan Haifa.

“Kita telah memperoleh senjata baharu, kita juga telah membangunkan senjata baharu untuk kegunaaan kami, dan kami menyimpannya untuk kegunaan hari-hari akan datang. 

“Tahun lalu, kita bercakap mengenai 100,000 tentera pejuang. Hari ini, angka tersebut jauh lebih tinggi. Serangan dan pembalasan kami mempunyai lebih banyak (pejuang) daripada yang diperlukan, walaupun dalam keadaan yang paling teruk,” katanya. 

Terdahulu, tentera Israel pada Selasa mengumumkan perancangan operasi untuk serangan di Lubnan telah ‘dilulus dan disahkan’, selepas tentera Israel dan pejuang Hizbullah yang disokong Iran terlibat dalam insiden berbalas tembakan merentas sempadan. – Agensi/– HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -