Dapur Hijau bantu surirumah jimat belanja dapur

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Program Dapur Hijau yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan sejak 2015 membantu golongan armalah dan penduduk berpendapatan rendah mengatasi kekangan kewangan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program Dapur Hijau berkonsep ‘kita tanam apa yang kita makan, kita makan apa yang kita tanam’.

“Ia merupakan manifestasi dan ekspresi konsep pertanian melalui Dapur Hijau yang dilakukan di halaman rumah bagi menjimatkan perbelanjaan dapur.

“Program tersebut diperkenalkan sejak 2015 terus berkembang dan mendapat sambutan menggalakkan khususnya suri rumah,” katanya di sini.

Menurutnya juga sejak 2015 sehingga tahun ini kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM1.72 juta yang melibatkan 20,880 penerima bantuan untuk melaksanakan program tersebut.

Bantuan kit Dapur Hijau mengandungi biji benih sayur-sayuran, anak pokok, baja organik, polybag, larutan Bio Hijja dan larutan Bio Fuit.

Program Dapur Hijau dilaksanakan melibatkan kerjasama Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi serta Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita.

Selain itu peneraju utama program terbabit iaitu Kelantan Biotech Corporation turut menggalakkan penanaman sayuran secara organik.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, Kelantan buat julung kali menganjur Ekspo Dapur Hijau 2024 (EDH 2024) yang akan diadakan selama dua hari bermula 21 Jun di Taman Rekreasi Air Panas Tok Bok, Machang.

Kata beliau ekspo tersebut bertujuan memberi galakan rakyat melaksanakan pertanian secara sihat. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -