ATM laksana ibadah korban bersama MB Perlis

- Advertisement -

PADANG BESAR: Seramai 350 anggota tentera (ATM) bersama meraikan program Ibadah Korban dan Sambutan Hari Raya Aidiladha bersama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli di Kem Bukit Cowder, Mata Ayer, di sini.

- Advertisement -

Program berlangsung dengan jayanya bermula dengan aktiviti penyembelihan, gotong-royong melapah dan memasak jamuan makan tengah hari.

Mohd Shukri dalam pada itu meluahkan rasa syukurnya atas pengalaman berharga bersama para perwira negara yang sentiasa gigih mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Beliau juga berbesar hati diberi peluang untuk melakukan sembelihan korban bersama anggota tentera di kem tersebut.

“Syukur Alhamdulillah, menjadi satu kebanggaan buat diri saya atas pengalaman yang berharga dapat bersama perwira-perwira negara yang tanpa pernah mengenal putus asa dalam mempertahankan kedaulatan Negara Malaysia.

“Saya turut berbesar hati kerana diberi peluang untuk melakukan sembelihan korban kepada anggota di kem ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar ukhuwah dan ikatan yang terjalin akan terus kukuh pada tahun-tahun mendatang.

Mohd Shukri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Panglima 30 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim; Ketua Staf Markas 30 Briged, Leftenan Kolonel Shahril Shaarani dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Lajaei.

“Semoga Allah SWT menerima ibadah korban kita semua tahun ini, InsyaAllah,” tambahnya lagi.

Program itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara anggota tentera dan pemimpin negeri, tetapi juga memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam melaksanakan ibadah korban sempena Aidiladha. – HARAKAHDAILY 20/6/2024

- Advertisement -