Wanita Palestin wujudkan sekolah ‘bergerak’ di Gaza

Noor Nassar sedang mengenalikan sekolah 'bergerak' di Semenanjung Gaza. (FOTO: De Limburger)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Seorang wanita Palestin mewujudkan sebuah sekolah bergerak bagi membantu kanak-kanak yang tidak dapat hadir ke sekolah akibat konflik dan peperangan Israel-Palestin yang berlaku.

Noor Nassar, yang merupakan seorang peguam pelatih memaklumkan bahawa dia telah melatih dirinya untuk menjadi seorang tenaga pengajar dan mula menceburkan diri dalam bidang kesukarelawanan di institusi tempatan bagi merealisasikan impiannya itu, lapor Al Jazeera.

“Saya mendapati minda kanak-kanak di sini telah ‘berkarat’, mereka lupa apa yang telah dipelajari, mereka lupa zaman kanak-kanak mereka. Dari situ, saya mula berfikir bagaimana saya boleh membantu kanak-kanak ini,” katanya. 

- Advertisement -

Idea untuk mewujudkan sekolah bergerak yang diberi nama ‘School Without Borders’ (sekolah tanpa sempadan) itu muncul selepas dia mendapati ada kanak-kanak di tahun pertama persekolahannya yang tidak dapat mengira satu hingga sepuluh.

“Saya juga pernah menemui kanak-kanak perempuan dalam tahun kelima persekolahan yang tidak dapat menulisnya dengan betul. Jadi, saya rasa ini merupakan masalah dan cabaran yang memerlukan penyelesaian,” tambahnya. 

Lebih 75 peratus sekolah di Gaza telah dimusnahkan oleh zionis Israel, dengan 69 peratus sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan telah diserang dan dihancurkan, menyebabkan kebanyakan penduduk terpaksa berpindah dari wilayah berkenaan secara paksa.

“Saya berjaya mengubah kanak-kanak yang tidak berminat untuk bersekolah semasa perang, menjadi minat untuk belajar. 

“Seperti contoh, ada seorang pelajar lelaki yang bertanya kepada saya ‘kenapa saya perlu pergi ke sekolah? Saya perlu dan mahu pergi mencari duit’.

“Namun, apabila dia mula mengikuti dan mula mengambil manfaat daripada sekolah bergerak ini, saya dapati dia antara yang pertama untuk hadir semula ke sini bagi lebih banyak pembelajaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -