‘Speaker Dewan Rakyat tidak ada pilihan…’

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul diharap akan memastikan terdapat sedikit ‘uniformity’ (keseragaman) dalam pelaksanaan peraturan-peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat setelah melihat apa yang berlaku di Kelantan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata demikian ketika mengulas keputusan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula hari ini, yang disifatkan beliau sebagai ‘perkara yang sudah dijangka’.

- Advertisement -

Ini kerana menurutnya, mengikut peraturan undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan Persekutuan, jelas apabila berlaku keguguran seseorang itu daripada ahli parti, maka kerusi yang dipegang adalah kosong.

“Bagi saya, ini mewujudkan satu ‘precedent’ dalam negara yang mana apabila dikosongkan kerusi di Kelantan, maka di peringkat Dewan Rakyat tidak ada alasan yang boleh digunakan untuk mengatakan kerusi mereka tidak kosong.

“Saya yakin Tan Sri Johari mahu dikenali sebagai seorang yang berpegang dengan prinsip kebebasan badan legislatif berbanding badan eksekutif serta bebas pengaruh daripada parti-parti politik,” katanya.

Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, dengan prinsip berkenaan, beliau yakin Speaker Dewan Rakyat itu faham dan sedar bahawa beliau tidak ada pilihan lain selain mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen itu perlu dikosongkan.

“Sekiranya ‘precedent‘ ini tidak dihormati atau tidak dituruti dari segi uniformity, mungkin akan wujud satu krisis Perlembagaan yang serius akibat daripada tidak mengikut precedent yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -