Sg Bakap bakal dipertahankan PAS-PN melalui politik matang & sejahtera

- Advertisement -

HARI penamaan calon untuk PRK DUN Sg Bakap, Pulau Pinang adalah pada Sabtu 22 Jun ini. Dijangka pertembungan utama dalam PRK nanti adalah antara calon PAS-PN dan PKR-PH.

PAS telah pun mengumumkan Abidin Ismail 56 tahun, Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal sebagai calonnya manakala PKR akan meletakkan Joohari Ariffin 60 tahun.

Dalam Pilihan Raya Umum Parlimen ke 15 serta PRN Pulau Pinang baru-baru ini PAS telah memperolehi pencapaian terbaiknya dalam sejarah melalui Perikatan Nasional.

PN menang tiga kerusi Parlimen, dua daripadanya melalui PAS iaitu Permatang Pauh (kubu kuat Anwar Ibrahim dan keluarga) serta Kepala Batas (parlimen yang pernah diwakili Presiden Umno) manakala dalam PRN P.Pinang PN memenangi 11 kerusi, 7 daripadanya dimenangi PAS (mengikut rekod pencapaian terbaik PAS sejak PRU 1959 cumalah 1 kerusi Parlimen dan 2 DUN) termasuklah DUN Sg Bakap.

- Advertisement -

Pencapaian ini dikaitkan dengan kesedaran dan kebangkitan politik umat Melayu dan berlaku begitu ketara di kerusi-kerusi majoriti Melayu di Utara, Pantai Barat dan Pantai Timur.

Isunya adakah “Gelombang Hijau” atau gelombang kesedaran politik umat Melayu dan Malaysia ini akan berulang di PRK Sg Bakap yang mempunyai 59.36% pengundi Melayu itu.

Prof Sivamurugan Pandian dari USM menjangkakan oleh kerana PRN yang lalu tak sampai setahun berlalu, besar kemungkinan momentum atau gelombang ini akan berterusan tambahan dengan kebimbangan masyarakat berkaitan kos hidup yang tinggi serta berbagai janji pilihanraya yang tidak ditepati. Namun demikian menurut beliau lagi oleh kerana ini adalah PRK besar kemungkinan situasainya berbeza.

Adakah PAS nanti mampu mengeluarkan para pengundi muda yang sebahagian besarnya berkerja di luar Sg Bakap untuk pulang mengundi? Kemampuan mengeluarkan seramai mungkin pengundi nanti dijangka akan berpihak pada PAS.

Apa pun DUN Sg Bakap ini bersempadan dengan Negeri Kedah, kubu kuat PAS di Utara. Penduduk khasnynya pengundi Melayu Sg Bakap dijangka lebih terpengaruh dan tertarik dengan karisma MB PAS Kedah berbanding Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP yang berada nun jauh di KOMTAR.

Pengundi Melayu Pulau Pinang juga rata-rata masih tidak senang dan selesa dengan Kerajaan negeri yang didominasi oleh DAP serta kerjasama politik antara PH dan Umno. Ramai yang kecewa kerana politik penyatuan ummah yang dahulunya mencantumkan PAS dan Umno, tergendala ditengah jalan angkara Presiden Umno memilih untuk berpelukan dengan PH yang didominasi DAP serta membelakangkan PAS.

Sebagaimana dinyatakan Prof Sivamurugan, kenaikan kos hidup cukup menjejaskan kehidupan rakyat termasuklah pengundi Melayu di Sg Bakap. Mereka kecewa dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang menandakan kegagalan Kerajaan PM ke 10 dalam mengurus dan mengendalikan hidup rakyat.

Beberapa insiden hubungan antara kaum yang gagal ditangani Kerajaan PHBN khasnya di Pulau Pinang menambahkan ketidakyakinan masyarakat Melayu pada Kerajaan PHBN ini.

Adalah dijangkakan kiranya jentera pilihanraya PN yang diterajui PAS, dapat mendekati masyarakat pengundi di Sg Bakap dengan “Budaya Politik Matang dan Sejahtera”, lebihkan program turun bertemu rakyat dan kurangkan ceramah-ceramah mega yang menyerang dan menguris hati, PAS akan mampu mempertahankan kerusi ini sekaligus terus mara kehadapan membawa perubahan di negeri dan negara menjelang PRU ke 16 nanti.

Sesungguhnya rakyat masih terganggu dan kecewa dengan kegagalan Kerajaan PHBN ini, jika kita mampu meyakinkan mereka, memastikan pengundi Melayu khasnya keluar beramai-ramai selain mendekati masyarakat bukan Melayu, insyallah kita akan berjaya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -