Seludup diesel: Nelayan dimomok dakwaan negatif Rafizi

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ucapan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli yang mendakwa berleluasanya kegiatan penyeludupan diesel dalam kalangan nelayan di tengah laut adalah satu dakwaan serius.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ia melibatkan soal integriti dan kemampuan agensi berkaitan yang bertanggungjawab menyusun mekanisma pengurusan dan kawal selia penyaluran minyak subsidi kepada nelayan.

Tambah beliau, bukan itu sahaja, malah profesion sebagai nelayan yang menyabung nyawa di lautan bagi membekalkan makanan kepada negara telah dimomokkan dengan dakwaan begitu negatif.

“Jabatan Perikanan menguruskan pemberian Lesen Nelayan. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam penyaluran minyak subsidi nelayan.

“Polis Marin, APMM, Jabatan Laut, TLDM dan Jabatan Perikanan bertanggungjawab dalam penguatkuasaan undang-undang di laut berada di bawah beberapa kementerian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Rafizi mendakwa salah satu punca ketirisan diesel dalam negara disebabkan kecurangan nelayan.

Rafizi berkata terdapat sesetengah nelayan yang cenderung menjual diesel bersubsidi kepada kapal-kapal besar negara asing untuk ditukarkan kepada ikan.

“Saya syorkan agar diwujudkan satu Jawatankuasa Kabinet rentas kementerian dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian kepada isu ini.

“Menteri Ekonomi boleh membantu dengan mencadangkan formula penyelesaian berkesan,” kata Azman. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -