‘Salah tetap salah, jangan main kotor’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rasuah Busters mengecam pengumuman-pengumuman dan peruntukan kerajaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kerana ia menyalahi mandat dan kepercayaan rakyat dan jelas mempunyai elemen sogokan dan rasuah.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, apa sahaja bentuk janji dan pemberian menjelang pilihan raya bukan sahaja menimbulkan tafsiran dan persepsi negatif rakyat, bahkan ia adalah ancaman besar yang mampu menggugat sistem demokrasi di negara ini. 

- Advertisement -

“Tindakan sedemikian memberi gambaran hipokrasi yang tidak mencerminkan aspirasi dan komitmen sebuah negara yang sedang berusaha memerangi rasuah, dan ia adalah langkah terkebelakang bagi pemullihan tadbir urus serta struktur integriti negara,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan. 

Kerajaan baru-baruini telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau yang berada di kawasan DUN Sungai Bakap, sejumlah RM17.8 juta peruntukan untuk pembinaan balai bomba, penaiktarafan pasar Bukit Panchor serta sumbangan rumah ibadah bukan Islam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. 

Menurut Rasuah Busters lagi, keadilan dalam pilihan raya tidak harus dinodai amalan lapuk membeli undi rakyat dengan menaburkan habuan, yang mana sumber kerajaan tersebut harus diagih secara adil kepada yang berhak tanpa mengira masa dan tempat. 

Kerajaan juga dituntut agar sentiasa berhati-hati dengan tatakelola penggunaan sumbernya semasa tempoh sensitif sekitar mana-mana pilihan raya, dengan fungsi biasa harus diteruskan tetapi sebarang tindak-tanduk yang jelas akan mempengaruhi pilihan raya hendaklah dihentikan serta merta. 

“Persepsi sebegini mencemar segala usaha kerajaan memerangi rasuah. Di #RasuahBusters, fokus kami adalah pada apa yang betul, bukan siapa yang berkuasa.

“Sumbangan sebegini adalah salah, dan kami akan tetap berpegang pada pendirian ini walau gabungan mana pun yang menerajui kepimpinan negara.

“Tidak kira siapa yang berkuasa, betul tetap betul. Salah tetap salah!” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -