Pemuda PAS Selangor kecam Umno Kota Raja

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno Bahagian Kota Raja yang sewenang-wenangnya mempergunakan masjid untuk kepentingan program parti mereka dengan menganjurkan Masjid Korban Perdana di Masjid An Naim, Jalan Kebun, Klang.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, penganjuran bermotifkan politik ini sangat jelas apabila terpampang perkataan Umno di sepanduk yang direntangkan.

“Hal ini jelas melanggar titah baginda Sultan Selangor berkenaan larangan parti politik untuk berpolitik di masjid,” katanya.

- Advertisement -

Menurut beliau, sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Zafrul sepatutnya cakna dengan etika masjid iaitu zon bebas politik.

Tambahnya, Tengku Zafrul seharusnya jangan berselindung disebalik pelaksanaan ibadah korban untuk menyelinap agenda politik ke dalam institusi masjid.

“Hormati titah Sultan Selangor dan arahan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini.

“Berdasarkan Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017, Pentadbir Masjid dan Surau hendaklah membantu apa juga ketetapan yang dibuat oleh MAIS. 

“Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” jelasnya.

Beliau menasihatkan supaya aktiviti politik dilakukan secara matang dan sejahtera.

Kata beliau lagi, masjid perlu dijadikan medan untuk masyarakat bersatu-padu tanpa mengira latar belakang parti, kaum mahupun taraf kehidupan. 

“Maka, jangan biarkan budaya politik sempit yang gemar menggunakan kesempatan ini terus memecah-belahkan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -