Pantun jawab tuduhan Rafizi terhadap nelayan

- Advertisement -

MUAR: ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib mengungkapkan tiga rangkap pantun sebagai reaksi balas beliau terhadap kenyataan Rafizi Ramli yang menuduh nelayan menjual diesel subsidi

- Advertisement -

“Saya ingin berpantun sedikitlah untuk kenyataan Rafizi itu. Minyak diesel naik lagi, Rafizi kelentong tanpa bukti, Nelayan jual diesel subsidi, teori mengarut dari Rafizi.

Kalau kail panjang sejengkal, Lautan dalam jangan diduga, Kalau cakap tak guna akal, Hilang bijak bodoh juga.

Negara kita negara berdaulat, Tampuk kuasa digenggam erat, Kita semua mesti sepakat, Tolak pemimpin berjiwa khianat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Jelas beliau, kenyataan Rafizi itu jelas satu bentuk penghinaan kepada nelayan yang selama ini berjasa membekalkan makanan asas kepada rakyat negara ini.

Katanya, fenomena penghapusan subsidi diesel yang baru berlaku ini sebenarnya telah menimbulkan pelbagai reaksi dari rakyat kerana mula merasai kesan dominonya.

Rafizi membuat kenyataan berkaitan penjualan diesel subsidi oleh nelayan melalui beberapa video dalam siri ceramah kempen Pakatan Harapan (PH) pada PRK Sungai Bakap yang tular baru-baru ini.

Dalam video-video tersebut yang boleh ditonton di platform media sosial itu, Rafizi mendakwa nelayan telah menjadi punca salah satu ketirisan dalam subsidi diesel kerana menjual bahan itu di tengah laut kepada kepada bot-bot asing.

Katanya, diesel bersubsidi yang diterima nelayan bertujuan untuk membantu golongan memperolehi bekalan bahan api itu pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

Aziz yang juga Bendahari PAS Johor menambah, pihak kerajaan hakikatnya mempunyai kekuatan agensi penguatkuasaan berkaitan maritim bagi menghalang aktiviti penyeludupan diesel sekiranya benar ianya dilakukan nelayan.

“Kita ada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); kita ada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sebagainya yang kebanyakannya bertugas di kawasan perairan laut.

“Sekiranya penguatkuasaan berjalan dengan baik sudah tentu perkara-perkara menjual minyak ataupun penyeludupan minyak ini tidak berlaku,” kata beliau.

Namun kata beliau, sekiranya benar kejadian menjual diesel bersubsidi masih berlaku secara berleluasa itu menunjukkan ada kelemahan dari pihak penguatkuasaan kerajaan.

Ujar beliau, kerajaan juga harus menyiasat sebarang kemungkinan wujudnya unsur rasuah sehingga diesel subsidi tersebut dikatakan dengan mudah diseludup keluar.

Kata Abdul Aziz, kerajaan sewajarnya menjalankan penguatkuasaan yang ketat di perairan negara sekiranya benar perkara itu berlaku dan bukannya bertindak menarik balik subsidi diesel.

“Kuatkuasakan maritim atau menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada ini supaya tidak berlakunya penyeludupan secara berleluasa.

“Ini (sebaliknya) tuduh pihak nelayan. Pihak nelayan juga yang kena, yang tidak ada bukti kukuh berkaitan dengan penyeludupan diesel ni melalui nelayan dan sebagainya,” tegasnya.

Beliau turut menggesa agar pihak kerajaan bersikap lebih prihatin dengan nasib rakyat yang ada pada hari ini dan tidak lagi memansuhkan subsidi-subsidi lain pada masa-masa akan datang.

“Jadi kita lihat kerajaan yang ada pada hari ini selalu menuding jari kepada pihak-pihak lain untuk menutup segala kelemahan yang berlaku.

“Siakap senohong gelama ikan duri, selalu cakap bohong lama-lama barang naik lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -