Orang lama, anak muda semarak tuntutan korban

- Advertisement -

KUBANG PASU: Sebanyak empat ekor lembu dikorbankan secara gotong-royong membabitkan penduduk setempat sempena sambutan Aidiladha di Kampung Tok Jalai, Jitra, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Menariknya, program tahunan ini meriah dan berjalan lancar hasil paduan tenaga bersama anak muda dan orang lama yang berpengalaman walaupun berlangsung dalam cuaca hujan.

Pengarah Program, Abd Hamid Shafie berkata, bukan mudah mendapatkan tenaga pakar untuk melapah, menumbang dan menyembelih lembu walaupun dilakukan saban tahun.

“Anak-anak muda mungkin ada yang tidak pernah pegang tali lembu, pisau bersiang, kapak tetak tulang, tapi hari itu (hari program) menjadi pengalaman berguna buat semua.

“Bukan hanya sama-sama melaksanakan ibadah, tapi juga dapat menyantuni warga kampung pelbagai usia, hormat menghormati dan eratkan ikatan siratulrahim,” ujarnya bangga semangat kerjasama mengatasi semua cabaran.

Sementara bagi Mohd Syafiq Abd Rahman, mewakili anak-anak muda, beliau merasa amat teruja dapat bersama menyertai serta membantu program korban tersebut.

“Petugas diberi t-Shirt seragam dan sedondon, jadi bertambah semangat lagilah. Suasana seperti ini wajar diteruskan setiap tahun dan mudah-mudahan ibadat korban ini terus menjadi aktiviti tradisi kampung ini,” ujarnya.

Justeru tambah Syafiq, semangat bersatu padu dalam melaksanakan perintah Allah perlu menjadi amalan setiap umat Islam agar pekerjaan menjadi mudah serta menjadi amal soleh diakhirat nanti. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -