Kerusi DUN Nenggiri diisytihar kosong bermula hari ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri bermula hari ini.

- Advertisement -

Beliau mengumumkan demikian pada sidang media, di sini, hari ini.

Kerusi itu diwakili Mohd Azizi Abu Naim yang juga Ahli Parlimen Gua Musang. 

Sebelum ini, ADUN terbabit bersama lima lagi bekas Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu.

“Notis tersebut memaklumkan ADUN terbabit hilang keahlian Bersatu dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

“Maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi.

“Dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan,” kata Mohd Amar.

Beliau juga memaklumkan, pihaknya akan menghantar surat kekosongan kerusi tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian masing-masing selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Wakil rakyat terbabit termasuk Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi (Jeli) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah Adun Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari turut memberi sokongan terhadap Anwar.

Sebelum ini mereka gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -