Kelab Media Kelantan rintis program ibadat korban

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) buat julung kali melaksanakan ibadah korban dan dagingnya diagih kepada lebih 100 penerima termasuk pengamal media serta asnaf.

- Advertisement -

Presidennya, Muhammad Yatimin Abdullah berkata, sejak 12 tahun penubuhan KEMUDI, hanya tahun ini persatuan itu berpeluang melaksanakan ibadat korban.

Katanya, lembu yang disembelih baka brahman seberat 410 kilogram bernilai RM5,800.

“Alhamdulillah hari ini kita berpeluang mengagihkan kepada ahli-ahli  antaranya wartawan, jurugambar serta asnaf di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas,” katanya ketika ditemui di lokasi penyembelihan di Kampung Pauh, dekat sini hari ini.

Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Ladang Lembu Kelantan. Seramai 15 ahli KEMUDI membantu proses penyembelihan dan agihan.

Manakala 10 ahli yang bukan Muslim diberi sumbangan hamper bagi menggantikan daging korban. KEMUDI mempunyai 88 ahli daripada 14 agensi media di Kelantan termasuk Harakah.

Muhammad Yatimin yang juga Ketua Biro Utusan Malaysia Kelantan berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan ibadat korban sebagai aktiviti tahunan.

Menurut beliau KEMUDI akan membuka peluang menyertai ibadat korban kepada ahli pada masa akan datang.

“KEMUDI mengutamakan agenda kebajikan sebagai perkara utama untuk kepentingan ahli,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -