Dulu PH sentiasa serang, dedah kepincangan kerajaan BN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) di zaman reformasi dulu sentiasa menyerang dan mendedahkan habis-habisan semua kepincangan dan ketempangan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ini termasuk pemimpin PH mendedahkan bahawa Kerajaan BN menyalah-guna kuasa, tidak adil serta berat sebelah dan merasuah sehingga menyogok para pengundi terang-terangan.

- Advertisement -

“(Sehingga pemimpin PH meminta) Pilihan raya yang bersih dan adil perlu diperjuangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dahulu sebelum pemimpin PH menjadi kerajaan, rakyat jelata dikerah turun ke jalanan untuk memprotes terhadap kemungkaran BN itu dengan janji.

“(Janjinya ialah) Kalau kita jadi kerajaan kita pastikan keadilaan dan kesaksamaan menjadi nilai utama yang didukung dan dilaksana kerajaan. 

“Lalu bertempiklah rakyat marhaen di jalanan ketika itu ‘reformasi reformasi reformasi’. Rakyat sanggup berhadapan ‘water canon’, gas pemedih mata.

“Dibelasah Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ditangkap kerana percaya bahawa reformasi akan bawa perubahan yang lebih baik buat Malaysia.

“Malangnya bila rakyat beri mandat, kuasa sudah di tangan, segala janji dimungkiri. Malah kemungkaran yang dulu diserang itulah juga pula yang diangkat menjadi amalan. Tertipu rakyat rupanya,” tegasnya.

Terdahulu media tempatan melaporkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim  serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan sumbangan serta peruntukan di Pulau Pinang semasa PRK Sungai Bakap.

Antaranya menurut laporan tersebut, peruntukan RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau berada di DUN Sungai Bakap dan peruntukan RM17,751,284 untuk projek pembinaan balai bomba, penaiktarafan pasar Bukit Panchor dan sumbangan rumah ibadah bukan Islam di Pulau Pinang baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -