Cuaca panas: Lebih 550 jemaah haji meninggal dunia

Jemaah haji pada tahun ini terpaksa berhadapan dengan cuaca panas ekstrem mencecah 51.8 darjah celcius di Makkah, Arab Saudi. (FOTO AFP)
- Advertisement -

MAKKAH: Cuaca panas telah mengakibatkan lebih 550 jemaah haji dari pelbagai negara telah meninggal dunia pada tahun ini, dengan 323 daripadanya adalah daripada Mesir.

Petugas yang mengawal dan menyelaras jemaah haji daripada Mesir berkata, kebanyakan mereka meninggal dunia selepas mengalami penyakit yang berkaitan dengan haba, kecuali seorang jemaah yang maut akibat kecederaan ketika berlakunya insiden rempuhan orang ramai, lapor Reuters. 

- Advertisement -

“Jumlah keseluruhan tersebut datang dari bilik mayat hospital di kejiranan Al-Muaisem, dengan sekurang-kurangnya 60 jemaah haji daripada Jordan turut meninggal dunia, meningkat daripada 41 jemaah yang dilaporkan sebelum ini,” katanya. 

Pusat Meteorologi Arab Saudi dalam pada itu memaklumkan, suhu di Masjidil Haram mencecah 51.8 darjah celcius, dengan jemaah haji dilihat menuang botol air ke atas kepala mereka ketika petugas menghulurkan minuman sejuk dan ais krim coklat yang cepat cair bagi membantu mereka kekal sejuk, lapor AFP pula.

Kumpulan petugas di Arab Saudi turut menasihatkan jemaah haji supaya menggunakan payung, minum lebih banyak air dan mengelakkan pendedahan kepada matahari pada waktu paling panas semasa mengerjakan ibadah berkenaan.

Pihak berkuasa negara berkenaan sebelum ini dilaporkan telah merawat lebih 2,000 jemaah haji yang mengalami strok haba, tetapi tidak mengemas kini angka berkenaan sejak Ahad dan tidak memberikan maklumat lanjut mengenai sebarang kemungkinan berlakunya kematian.

Ibadah haji adalah salah satu daripada rukun Islam dan semua umat Islam yang berkemampuan perlu menunaikannya sekurang-kurangnya sekali, dengan musim haji pada tahun lepas mencatatkan 240 jemaah telah meninggal dunia yang kebanyakannya adalah daripada Indonesia. –HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -