Banyak lagi barang keperluan perlu turun harga

Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa kecewa apabila kerajaan mengumumkan penurunan harga telur dan bukan pakej ekonomi yang lebih komprehensif kepada rakyat.

Muhyiddin menjangkakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hendak mengumumkan satu mekanisme yang lebih komprehensif bagi meringankan beban rakyat.

“Mungkin satu pakej ekonomi dan bantuan rakyat bernilai RM4 bilion yang bersamaan dengan jumlah penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil penyasaran subsidi.

- Advertisement -

“Namun yang diumumkan hanyalah penurunan harga telur yang melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM100 juta sahaja. Jangkaan saya meleset,” katanya menerusi kenyataan, tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, sebenarnya banyak lagi barangan keperluan yang seharusnya diturunkan harganya.

“Terima kasihlah Perdana Menteri kerana mengumumkan penurunan harga telur sebanyak 3 sen. Katanya ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi diesel kepada rakyat.

“Cuma yang naik harga selepas penarikan balik subsidi diesel bukan telur sahaja. Banyak lagi barang dan perkhidmatan yang naik harga. Ini termasuk tambang bas sekolah,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Anwar berkata, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing kini diturunkan kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa Isnin lepas. – HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -