Ancaman H5N1: Rakyat Singapura dinasihat berjaga-jaga

- Advertisement -

SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura mengeluarkan nasihat kepada orang awam agar tidak menyentuh mahupun memberi makan kepada burung liar sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ancaman selesema burung, atau H5N1.

Rakyat Singapura turut dinasihatkan agar menjauhi diri daripada ayam yang berkeliaran secara bebas yang sering dikesan di sekitar kawasan kejiranan di negara berkenaan.

- Advertisement -

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pihak Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, kedua-dua agensi tersebut akan bekerjasama rapat dalam melaksanakan langkah berjaga-jaga terhadap ancaman berkenaan, lapor CNA.

Antara langkah yang telah diambil adalah dengan melibatkan pihak berkuasa luar negara mengenai masalah selesema burung, dan menjalankan pemeriksaan berkala terhadap burung import di ladang dan kedai.

AVS turut menguji burung yang ‘berhijrah’ untuk mengesan sebarang tanda-tanda jangkitan selesema burung.

Dalam pada itu, SFA memaklumkan, industri makanan digalakkan untuk mempelbagaikan dan mengimport daripada pelbagai sumber untuk kekal berdaya tahan semasa wabak penyakit dan gangguan bekalan, dengan doktor haiwan dan pemilik burung dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan jangkitan pada burung mereka.

Pakar hidupan liar di JK Wildlife, Joe Kam berkata, mereka yang bekerja secara rapat dengan burung dinasihatkan untuk mematuhi kebersihan diri dan mengambil langkah-langkah yang perlu seperti memakai peralatan perlindungan.

“Seperti contoh, perkhidmatan menyelamatkan haiwan mempunyai prosedur untuk mengurangkan risiko penularan penyakit semasa mengendalikan hidupan liar, termasuk burung.

“Protokol kami ialah kita mesti memakai sarung tangan, untuk burung merpati dan burung-burung lain, kami akan memakai topeng, biasanya topeng N95 dan pelindung muka jika perlu,” katanya. 

Wabak penyakit selesema burung, atau H5N1 telah menjangkiti manusia sejak beberapa minggu yang lepas di Australia dan Amerika Syarikat. 

Walaupun tiada kes tersebut yang dicatatkan di Singapura setakat ini, pihak berkuasa memaklumkan bahawa selesema burung adalah bersifat endemik di rantau ini dan menekankan keperluan untuk terus berwaspada dan melindungi diri daripada jangkitan. – Agensi/– HARAKAHDAILY 19/6/2024

- Advertisement -