Subsidi diesel: Kerajaan usah nafi kesusahan rakyat

- Advertisement -

PADA waktu ini, majoriti rakyat Malaysia merasa bimbang dan gusar dengan kos sara hidup yang akan terus meningkat susulan pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh Kerajaan. Buktinya, melalui kaji selidik yang dikeluarkan oleh QGen Analysts, sebuah pusat penyelidikan pendidikan, menyatakan lebih 90% rakyat di media sosial telah memberikan respon negatif dengan tindakan drastik kerajaan.

- Advertisement -

Sebagai salah seorang penduduk kampung dan membesar di kawasan luar bandar, saya sangat memahami kesan yang akan ditanggung oleh rakyat luar bandar disebabkan oleh langkah tergesa-gesa dan tidak cermat kerajaan dalam melaksanakan penyasaran subsidi diesel ini.

Kesan yang paling menakutkan adalah apabila kos sara hidup penduduk luar bandar tidak akan sama seperti sebelum ini, bahkan mungkin menjadi sama tinggi seperti yang ditanggung oleh penduduk bandar, dalam keadaan purata gaji rakyat masih statik dan tidak ada sebarang peningkatan. Punca utama kepada hal ini adalah kerana dasar ini akan memberi impak secara terus kepada kenderaan pengangkutan 4×4 yang menggunakan minyak diesel seperti Hilux, Triton dan sebagainya yang menjadi medium penting untuk penduduk luar bandar mendapatkan akses kepada keperluan harian.

Sehingga hari ini, banyak aduan yang telah saya terima daripada rakyat antaranya, sebelum ini, mereka hanya memerlukan dalam anggaran sebanyak RM100-RM130 untuk mengisi penuh tangki kenderaan Triton dengan minyak diesel subsidi, namun selepas pelaksanaan dasar ini, kos tersebut meningkat sehingga RM200-RM250. Hal ini bermakna setiap kali pengisian minyak diesel dijalankan, pemandu kenderaan persendirian terpaksa menanggung peningkatan harga petrol sebanyak RM100-RM120.

Tidak dinafikan, Kerajaan telah memperkenalkan Program Bantuan Subsidi Madani termasuk pemberian kad budi bernilai RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel individu. Persoalannya, apakah rasional amaun pemberian sebanyak RM200 sebulan tersebut? Adakah terdapat kajian atau data yang membuktikan nilai RM200 memadai untuk meringankan beban rakyat? Hal ini sangat penting untuk dijelaskan kepada rakyat, lebih-lebih lagi jika mereka ini berperanan sebagai pembekal / ‘supplier’ yang menghantar barang keperluan kepada penduduk luar bandar.

Walaupun kerajaan telah meletakkan sasaran penjimatan sehingga RM4b daripada langkah ini,  namun, dengan hanya memberikan subsidi diesel kepada sesetengah kenderaan logistik dan bantuan tunai kepada pemilik kenderaan bersendirian sama sekali tidak mengurangkan ‘domino effect’ kepada rakyat akibat pengenalan dasar tersebut.

Bahkan, terdapat juga beberapa sektor yang terjejas teruk seperti sektor pembinaan, sektor pelancongan dan sektor perniagaan pengantaraan (e-hailing). Sektor pembinaan semestinya melibatkan penggunaan kenderaan berat, manakala sektor pelancongan pula menggunakan bas persiaran. Perkara-perkara inilah yang membawa kepada faktor peningkatan kos sara hidup yang akhirnya akan menyebabkan penduduk luar bandarlah yang akan menjadi kelompok yang paling terjejas.

Oleh itu, Kerajaan tidak sepatutnya terus berada dalam penafian (‘in a state of denial’) dan seharusnya sedar bahawa segala keluh resah rakyat akibat peningkatan harga diesel mendadak ini wajar diambil berat dan diselesaikan dengan sebaik mungkin.

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 18/6/2024

- Advertisement -