Permintaan lembu ibadah korban kurang 50 peratus

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Penternak lembu di Kelantan mengakui permintaan untuk melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini berkurangan sehingga 50 peratus.

- Advertisement -

Mereka memberitahu situasi tersebut masih lagi berlaku biarpun sebahagian penternak menawarkan kadar harga yang lebih kurang sama berbanding beberapa tahun lalu.

Salah seorang penternak, Mohd Elias Che Pa berkata sambutan ibadat korban pada Hari Raya tahun ini sedikit hambar kerana ramai anak perantau tidak pulang.

Selain itu orang ramai berdepan kekangan masalah kewangan rakyat.

“Hari ini saya laksanakan ibadat korban sunat lima ekor lembu yang ditempah 35 peserta, di mana tahun ini sangat kurang sambutannya dibanding tahun lepas.

“Ini kerana tahun lepas hampir 150 lembu dijual, tetapi pada tahun ini 80 ekor sahaja, hampir separuh walaupun saya tetapkan harga dalam lingkungan RM750, RM650, RM650 dan RM550,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ibadah korban anjuran Komuniti Penduduk Kampung dan Jemaah Masjid Warisan di Kampung Lubok Gong Rantau Panjang dekat sini semalam.

Sementara itu salah seorang peserta, Mohd Tarmizi Che Hassan berkata, ramai rakan di Kuala Lumpur tidak pulang ke kampung halaman pada tahun ini kerana waktu cuti yang pendek.

Bagaimanapun, seorang guru di Kuala Lumpur itu gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menunaikan ibadah korban.

“Saya korban ni ambil tiga bahagian, dua bahagian untuk akikah dan satu lagi untuk sedekah kepada orang yang memerlukan selebihnya buat jamuan pada hari raya kedua insya-Allah.

“Walaupun ramai warga perantai Kuala Lumpur tidak pulang pada tahun ini, tetapi sambutan tetap meriah.

Perasaan sama turut dikongsi oleh Azlinda Ismail kerana dapat menunaikan ibadah korban tersebut tahun ini biarpun berdepann kekangan waktu cuti yang sangat singkat. – HARAKAHDAILY 18/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -