Korban Perdana meriahkan Aidiladha PAS Kedah

Sebanyak 21 ekor lembu dikorbankan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Korban Perdana PAS Kedah telah dilangsungkan meriah pada majlis yang diadakan sempena Hari Raya Aidiladha 1445H di Kompleks PAS Kedah, di sini hari ini.

- Advertisement -

Acara program yang bermula seawal jam 7:30 pagi melibatkan penyertaan daripada semua 15 PAS Kawasan seluruh negeri dan Dewan-dewan di mana sebanyak 21 ekor lembu dikorbankan.

Setiausaha PAS Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata, program besar-besaran diadakan itu sebagai mengganti Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kedah yang tidak diadakan di situ tahun ini.

“Lagipun lama dah kita tak buat program Korban Perdana di sini (Kompleks PAS Kedah), sebelum ini kita buat di kawasan-kawasan.

“Jadi, dah Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pun kita tak buat di kompleks, gantilah dengan program Korban Perdana ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Sebahagian daging sembelihan tersebut diagihkan ke kampung-kampung berdekatan, termasuk hadirin dan semua yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, Timbalannya, Dr Ustaz Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dan lain-lain pemimpin PAS negeri di kompleks pentadbiran tersebut.

Dalam menjayakan majlis perdana ini, setiap PAS Kawasan dan Dewan-dewan dibahagikan tugasan masing-masing sama ada melapah, membungkus, memasak dan lain-lain.

Secara tidak langsung, program Korban Perdana ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama antara pemimpin dan ahli-ahli, malah dapat hubungan siraturahim PAS bersama masyarakat sekitar.

Dalam pada itu jamuan tengahari juga disediakan kepada para petugas dan orang ramai yang hadir meraikan program tersebut. – HARAKAHDAILY 18/6/2024

- Advertisement -