Kontrak sosial: Apa maksud tersirat Menteri DAP?

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mempersoal maksud tersirat kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berhubung isu kontrak sosial.

- Advertisement -

Menurut Razali, Steven Sim perlu berhati-hati apabila membicarakan atau menutur kata hal-hal berkaitan kontrak sosial walaupun berucap di pentas dunia kerana boleh mengundang polemik.

Tambah beliau, tanggungjawab dalam menjayakan agenda kontrak sosial perlu dipenuhi oleh semua lapisan rakyat Malaysia.

“Sayugia diingatkan kontrak sosial punya agenda yang jelas dalam membentuk kebersamaan seluruh rakyat Malaysia dengan mengambil kira kepentingan semua.

“Soalnya sekarang adakah pemimpin DAP masih degil untuk memahami atau tidak patuh beberapa peruntukan afirmatif di bawah Perlembagaan Persekutuan yang akibatnya gagal memahami kontrak sosial dan selalu mencari jalan yang menang untuk mereka?,”soalnya menerusi satu hantaran di laman sosial.

Terdahulu, Steven Sim turut memaklumkan bahawa beliau juga telah mempromosikan konsep Malaysia Madani yang mengambil ibrah daripada pembentukan negara Madinah yang mengutamakan keadilan, kemakmuran bersama serta perpaduan.

Steven Sim telah menyinggung kontrak sosial dunia sekarang yang hanya menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan merugikan negara-negara kecil yang lain.

Menulis dalam akaun X miliknya, beliau berkata, isu mengenai kontrak sosial dunia yang hanya menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia itu telah disentuh dalam ucapannya pada sesi plenari Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 yang berlangsung di Geneva, Switzerland pada Rabu lalu.

Razali berkata, pemimpin DAP kena faham adil dan sama rata adalah dua perkara berbeza yang sering kali disalahertikan.

“Lebih menghairan, Menteri DAP ini menjadikan contoh konsep Malaysia Madani daripada pembentukan negara Madinah yang mengutamakan keadilan, kemakmuran serta perpaduan.

“Inilah masalah apabila terkena penyakit berjangkit PMX, Menteri Kabinetnya pun terikut sama apa yang adil dan perpaduan kalau dilihat contoh politik diskriminasi kepada negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak?” katanya.

Beliau turut mengingatkan Steven Sim agar usah menyatakan perkara besar-besar di pentas dunia sedangkan dalam negara sendiri tidak dipraktiskan.

“Sekali lagi diingatkan, negara yang diberkati ini dipasakkan atas semangat muhibah, ditepiskan keegoaan dan penguasaan mutlak kaum majoritinya kerana sifat tolenrasi yang tinggi,” katanya.

“Secara arfiahnya, waima sebuah negara Melayu yang didirikan atas nilai ketatanegaraan Melayu, namun pengoperasiannya dijadikan sebagai negara sepunya untuk semua kaum yang sudi menerima kontrak sosial yang dipersetujui secara konsensus,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2024

- Advertisement -