‘Hilang segala lelah lihat senyuman anak-anak ini’

Ustaz Hanif (tengah) bersama penduduk melaksanakan ibadah korban dan akikah melalui NGO Ihtimam Care di Kampung Bahagia Pulau Koh Sotin, Kemboja. (Foto: FB/Hanif Jamaluddin)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ihtimam Care menumbangkan 90 ekor lembu untuk melaksanakan ibadah korban dan akikah sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, setiausaha agungnya, Muhammad Hanif Jamaluddin, mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang memberikan kepercayaan kepada pertubuhan bukan kerajaan itu untuk melaksanakan ibadah korban.

“Alhamdulillah, insya-Allah, kita akan sembelih (haiwan korban) di sini dan untuk makluman terdapat 77 buah kampung yang akan mengambil bahagian untuk menyembelih lembu ini.

“Lembu ini juga hasil daripada sumbangan pelbagai pihak. Doakan mudah-mudahan pelaksanaan ibadah korban ini berjalan dengan lancar, takbir!” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, melaksanakan ibadah korban bersama pertubuhan itu di Kampung Bahagia Pulau Koh Sotin, Kemboja. Semalam, beliau turut diberikan kepercayaan untuk mengimamkan solat sunat Aidiladha di Masjid Nurul Huda.

“Saya seakan-akan berada di kampung sendiri apabila bersama orang kampung di sini kerana mereka sangat peramah dan ringan tulang. Oleh sebab itu, saya tidak pernah jemu datang ke sini meskipun sudah lebih 10 tahun bersama mereka dalam misi kebajikan korban,” katanya.

Hanif turut akui bahawa masjid tersebut sangat indah kerana dipenuhi jubin yang cantik yang pastinya menghiasi dinding.

Sementara itu, dalam hantaran kenyataan yang berasingan, beliau turut mendoakan semoga ibadah korban itu diterima Allah SWT.

“Selain itu, menjadi pemberat kepada amalan kita dan menjadi asbab untuk kita masuk ke dalam syurga Allah, subhanallah. Jumpa lagi tahun hadapan,” katanya.

Ihtimam Care turut berkongsi rezeki dengan pemberian makanan ringan dan aiskrim serta duit raya kepada kanak-kanak.

“Lihatlah senyuman kegembiraan anak-anak ini, ia hasil dari sumbangan kalian semua. Hilang segala lelah melihat senyuman yang terukir di bibir anak-anak ini. Terima kasih dermawan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2024

- Advertisement -