Cara korban di kampung

Ustazah Asmak gemar melakukan ibadah korban bersama keluarganya di kampung halaman. (Foto daripada Facebook Ustazah Asmak Husin)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Dari kecil kami diajar, bila sudah kerja tak kira dah kahwin ke tidak, kerja besar ke kecil, kena juga korban,” kata Pendakwah Wanita dan Keluarga, Asmak Husin.

- Advertisement -

Asmak berkata, beliau dan keluarga akan mengumpul wang khas untuk melakukan ibadah korban di kampung halaman.

“Kalau ambil bahagian di kampung, wajib kena bawa pisau masing-masing. Kalau lelaki itu paling kurang (bawa) pisau lapah, tetapi paling elok sekali bawa kapak dan parang. Jadi adik-beradiknya yang lelaki perlu melapah lembu dan urus tulang-tulang.

“Seterusnya, adik-beradik perempuan wajib bawa pisau potong daging. Jangan bawa pisau potong bawang atau sayur. Mula-mula orang perempuan akan potong daging nipis-nipis untuk masak sama ada daging goreng dan singgang atau sup.

“Tapi wajib dulu tanya orang yang berkorban untuk minta izin. Tapi kalau semua (yang berkorban) itu adik-beradik lebih mudah. Baki (korban) itu baru kami bagi tujuh,” katanya menerusi satu hantaran di lama sosialnya, hari ini.

Beliau yang juga mantan Ahli Dewan Negara Kelantan berkata, jika ada orang luar biasanya kena bagi tujuh atau ambil bahagian yang memang nak sedekah, manakala daging korban yang masak pula sekadar untuk orang yang buat kerja.

Selain itu, Asmak tidak gemar jika orang yang melakukan ibadah korban tidak membawa bekas masing-masing dan tidak menolong langsung kerana ibadah itu merupakan gotong-royong bukan mengambil upah.

“Tolong bawa bekas, baldi dan besen masing-masing. Saya pantang orang korban tapi bekas pun tak bawa dan tak menolong langsung sebab konsep ini gotong-royong bukan upah pun. Kalau ada orang macam ini memang kena ‘ban’ (larang),” katanya.

Asmak berkata, kanak-kanak dan remaja juga wajib turut serta terutamanya semasa pengagihan daging korban untuk sekeliling kampung.

“Masa nak ‘tompok’ tujuh (bahagi tujuh bahagian), kami akan asingkan daging, tulang, perkakas dalam, daging musir (batang pinang) dan agih tujuh secara adil.

“Selepas itu kita minta tuan punya masing-masing nak cabut berapa untuk agih kawasan itu. Jadi yang cabut itu kita masuk plastik kecil-kecil. Masa ini kerja dah mudah sebab kita dah potong buku kecil-kecil.

“Dah siap semua, barulah makan-makan sambil berbual dan bermain. Memang riuh dan meriah. Sebab itu walau berbelas jam (cuti pendek) tetap ramai yang balik,” katanya.

Beliau berkata, sempena cuti Raya Hari Aidiladha walaupun hanya setahun sekali tetapi tetap balik beraya di kampung halaman untuk melakukan ibadah korban secara tidak langsung anak-anak turut dapat mempelajari ibadah korban. – HARAKAHDAILY 18/6/2024

- Advertisement -