Banteras salah guna dadah tugas bersama semua

- Advertisement -

BALING: Kerajaan Negeri tidak memandang remeh isu-isu berkaitan penyalahgunaan dadah dan berusaha menanganinya sebaiknya.

- Advertisement -

Kes melibatkan penagihan dadah juga semakin kompleks serta mencabar dan isu ini bukan hanya tanggungjawab pihak kerajaan sebaliknya semua pihak.

Mengikut statistik 2021, Kedah menjadi negeri paling tinggi merekodkan penyalahgunaan dadah di negara ini dengan 13,502 orang berbanding 10,518 pada 2020, namun menurun kepada 11,057 orang, tahun lalu.

Dalam pada itu, beberapa usaha telah digerakkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mengawal permasalahan tersebut melalui tiga strategi utama iaitu cegah (i- Cegah), rawatan (i-Pulih) dan i-Prihatin.

Sementara menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan,  Mejar (B) Mansor Zakaria, pencegahan merupakan tindakan awal yang seharusnya bermula oleh ibu bapa keluarga dan komuniti.

Beliau mengharapkan ibu bapa, keluarga, komuniti dan masyarakat menjadi elemen penting bagi pencegahan serta tindakan awal agar penyalahgunaan dadah dapat dibanteras sebelum merebak menjadi lebih parah.

“Jika sayangkan keluarga dan komuniti, menjadi tanggungjawab bersama untuk memerangi dadah dan tidak menyembunyikan aktiviti penagihan dadah di sekeliling kita,” kata beliau.

Menurutnya, bagi mencapai matlamat Dadah Terkawal, dua kunci utama yang telah dipersetujui di peringkat Kebangsaan iaitu mengurangkan kadar prevalens penagihan dadah ke tahap terkawal iaitu 400 per 100,000 penduduk

Juga katanya, 75 peratus Kadar Kekal Pulih bagi klien yang telah menjalani rawatan dan pemulihan dadah sama ada di fasiliti AADK, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahupun Pusat Pemulihan Dadah Persendirian.

Tambahnya, stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah perlu diubah terutamanya terhadap bekas penagih yang akan kembali ke dalam masyarakat setelah menjalani program rawatan dan pemulihan. – HARAKAHDAILY 18/6/2024

- Advertisement -