Umat Islam sambut Aidiladha: Rakyat Palestin ‘berkabung’ 

Penduduk Palastin mengadakan solat pagi Aidiladha di al-Bureij, di bahagian tengah Semenanjung Gaza. (FOTO:AFP)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA/TEBING BARAT: Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki rejim Zionis menyambut ketibaan  Aidiladha dalam suasana suram, ketika tentera negara haram Israel meneruskan serangan sejak lebih lapan bulan lalu.

Sekurang-kurangnya sembilan orang, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh dalam serangan terbaru Israel di tengah kem pelarian Bureij di Gaza, menjadikan 41 rakyat Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam yang lalu.

- Advertisement -

Di kawasan yang terkepung di Gaza, lokasi di mana lebih 37,000 rakyat Palestin telah terbunuh angkara serangan tentera udara Israel bermula pada 7 Oktober 2023 disusuli kemudian dengan serangan darat pertama pada 27 Oktober, orang ramai berkumpul di runtuhan kawasan kejiranan mereka untuk mengadakan solat Aidiladha dan berdoa ke hadrat Allah SWT.

Ia berlangsung ketika tentera Israel secara agresif menyerang kawasan barat Rafah, yang mara dengan pencerobohan darat ke bandar paling selatan, dan melanda kawasan di seluruh Gaza tengah, lapor Al Jazeera.

“Serangan itu telah mendorong orang ramai ke dalam perpindahan dalaman yang lebih lanjut; di bahagian utara Semenanjung Gaza.

“Orang ramai bukan sahaja bergelut untuk menangani serangan bom dan serangan yang tidak dapat diramalkan ke atas rumah mereka … tetapi juga penularan dehidrasi dan kelaparan,” kata Hani Mahmoud dari Al Jazeera, melaporkan dari Deir el-Balah di tengah Gaza .

“Ini berlaku pada hari pertama Aidiladha, di lokasi di mana kami melihat ratusan ribu keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal, kebanyakan mereka sedang berkabung.”

Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum, juga melaporkan dari Deir el-Balah, berkata rakyat Palestin cuba berpaut pada rasa harapan.

“Rakyat Palestin cuba melakukan yang terbaik, walaupun Israel terus melakukan pencerobohan, untuk membawa kebahagiaan kepada anak-anak kecil, kerana ramai daripada mereka akan bangun hari ini dan menyambut hari raya tanpa ibu bapa mereka.”

Terdahulu, Pejabat Media Kerajaan di Gaza berkata dalam satu kenyataan lewat Sabtu bahawa Israel menghalang kemasukan haiwan korban ke dalam enklaf daripada semua lintasan, menghalang rakyat Palestin daripada melakukan ibadah korban sebagai sebahagian amalan  Aidiladha.

Tentera Israel pada hari Ahad mengumumkan ‘jeda tempatan, taktikal’ aktiviti ketenteraan di sepanjang laluan tertentu dari 8 pagi hingga 7 malam setiap hari sehingga diberitahu selanjutnya, kononnya untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza dari persimpangan Karem Abu Salem (Kerem Shalom).

Ia bagaimanapun, menekankan bahawa tenteranya akan terus bertempur di bahagian selatan enklaf itu dan bahawa ‘tiada pemberhentian permusuhan’ dengan pihak pejuang Islam, Hamas.

Jeda itu diselar sebagai ‘mimpi khayal’ oleh Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, terutamanya sejak 11 tentera Israel terbunuh pada hari Sabtu, menandakan hari perang paling dahsyat bagi tentera Israel sejak Januari 2024

Sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa

Di Baitulmaqdis, tentera Israel sekali lagi menghalang rakyat Palestin yang cuba meraikan sambutan Aidiladha di Masjid Al-Aqsa, dengan pihak tentera mengenakan sekatan ketat ke atas kemasukan dan menggempur  jemaah.

Agensi berita Wafa melaporkan bahawa kira-kira 40,000 berjaya menghadiri solat di dalam masjid itu, tetapi ramai yang terpaksa bersolat di luar pagar masjid selepas dilarang masuk.

Ia juga melaporkan bahawa tentera Israel mengganggu pergerakan rakyat Palestin di beberapa kawasan di Ramallah di Tebing Barat yang diduduki, menubuhkan pusat pemeriksaan dan memaksa kenderaan berhenti.

Dua pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB) yang berpangkalan di Lubnan pula mengeluarkan amaran tentang ancaman salah perhitungan yang ‘sangat nyata’, yang boleh membawa kepada perang yang lebih meluas  kerana tentera Israel dan pejuang Islam Lubnan, Hizbullah telah meningkatkan serangan mereka dengan ketara dalam pertempuran sempadan yang meletus selepas permulaan perang ke atas Gaza .

“Ketika masyarakat di Lubnan dan di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, PBB mengulangi gesaannya agar semua pihak yang sedang berperang di sepanjang Garis Biru meletakkan senjata masing-masing dan komited kepada jalan damai,” kata dua pegawai itu dalam satu kenyataan bersama. – Agensi– HARAKAHDAILY 17/6/2024

- Advertisement -