Tarik subsidi diesel berbeza dengan kemas kini cukai

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pusat menarik subsidi diesel untuk meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan beban kewangan, manakala kerajaan negeri mengemas kini cukai untuk menambah pendapatan negeri serta menampung kelompongan yang ditinggalkan royalti petroleum.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menjelaskan bahawa walaupun kedua-dua langkah itu bertujuan untuk menambah pendapatan, terdapat perbezaan mendalam antara pendekatan yang diambil oleh kerajaan pusat dan negeri.

Beliau berkata, rasionalisasi subsidi diesel dilaksanakan selepas kerajaan menaikkan cukai SST daripada enam kepada lapan peratus, manakala pengenalan cukai baru yang dibuat kerajaan negeri adalah kerana hak untuk mendapat royalti petroleum dinafikan.

“Kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri dan perlu mencari jalan penyelesaian,” katanya membalas pendapat sesetengah pihak bahawa kedua-dua tindakan yang dilaksanakan adalah sama.

Menurut Amzad, rasionalisasi subsidi diesel dilakukan secara terburu-buru walaupun pengumuman berkenaan telah lama dibuat.

Beliau menyatakan kaedah pelaksanaan melalui Budi Madani juga masih tidak jelas.

“Tindakan drastik penarikan semula subsidi diesel ini memberi tekanan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana di saat mereka masih lagi terkapai-kapai memulihkan ekonomi masing-masing. Ia menjadi persoalan mengapa subsidi bersasar ‘flat rate’ tanpa melihat kepada tanggungan rakyat walaupun gajinya sama.

“Kerajaan sepatutnya memastikan sebarang mekanisme yang dirangka adalah lengkap sebelum melaksanakannya agar tidak menyusahkan rakyat.

“Kerajaan juga perlu melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berperingkat bukannya secara terburu-buru bagi mengurangkan kesan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, cukai baru di Terengganu masih lagi dalam kajian untuk memastikan pelaksanaannya tidak akan membebankan golongan B40 dan M40 kelak.

“Setelah kajiannya selesai, ia akan dibincangkan dalam pesidangan Dewan Undangan Negeri untuk diluluskan dan yang paling penting adalah cukai ini akan dikecualikan bagi golongan tertentu seperti B40,” katanya.

Tambah beliau antara perbezaan lain, rasionalisasi subsidi dibuat dalam keadaan Petronas berjaya mencatatkan peningkatan pendapatan pada suku pertama 2024 dengan RM89.7 bilion berbanding suku pertama 2023.

Manakala, katanya, cukai baru Terengganu dicadang untuk dilaksana setelah hampir 40 tahun ia berada pada paras harga yang sama berbanding negeri-negeri lain. – HARAKAHDAILY 17/6/2024

- Advertisement -